Sunday, June 19, 2011

Kuala Penyu dijadikan hab pelancongan pedalaman


Lajim Ukin (dua dari kanan) melihat hasil tangkapan para peserta yang menyertai pertandingan memancing di Kampung Tempurung,

KUALA PENYU : Kerajaan negeri akan menjadikan daerah ini sebagai salah sebuah hab pelancongan kawasan pedalaman di negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, daerah itu amat berpotensi kerana mempunyai banyak kawasan menarik serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

"Bagaimanapun perancangan jangka panjang untuk membangunkan sektor pelancongan di daerah itu perlu dilakukan dengan teliti.

"Ini penting bagi memastikan ia tidak hanya bergantung pada satu produk pelancongan sahaja tetapi dipelbagaikan meliputi aspek penginapan, budaya, makanan dan kraftangan," katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat daerah di Kampung Tempurung di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmond Teo.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, pada masa ini Kuala Penyu sudah pun dikenali di seluruh dunia dengan keunikan Pulau Tiga.

Malah katanya, jajaran pantai yang bersih di sepanjang daerah itu amat menarik dan berpotensi dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan baru.

"Selain itu kepelbagaian budaya masyarakat dan hasil kraf tangan unik masyarakat di daerah ini juga pastinya dapat menggamit pelancong ke daerah ini," katanya.

Sementara itu, beliau berharap masyarakat di daerah ini merebut peluang dengan menceburkan diri dalam sektor pelancongan seperti mewujudkan pusat inap desa dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment