Saturday, June 4, 2011

Lonjak kualiti bomba Sabah



Lajim Ukin (tengah) memeriksa bot penyelamat yang akan diagihkan kepada JBPM dan pasukan bomba sukarela di ibu pejabat JBPM Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 1 Jun – Komitmen kerajaan untuk memantapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah, terbukti apabila peruntukan peralatan keselamatan dan jentera bernilai lebih RM1 juta diserahkan baru-baru ini.

Apa yang menarik daripada majlis pengagihan bantuan tersebut adalah skuad bomba sukarela Sabah turut menerima tempiasnya.

Selain menerima baju api, topi keselamatan, pam angkut, alatan pemadam dan kasut, tiga buah pasukan bomba sukarela terpilih mendapat bantuan kenderaan Proton Arena bagi melancarkan aktiviti memadam kebakaran di kawasan masing-masing.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khiruddin Drahman berkata, dua jentera penyelamat rapid (RRV), bot aluminium (18 buah), van Nissan Urvan (14 buah) dan pelbagai peralatan keselamatan lain diserahkan kepada balai bomba di seluruh Sabah.

Katanya, tiga kenderaan jenis Proton Arena turut diserahkan kepada tiga pasukan bomba sukarela terpilih di Klias, Kampung Pangkalan Abai di Kota Belud dan Kampung Tingkalanon di Kota Marudu bagi membantu melancarkan aktiviti memadam kebakaran.

“Peruntukan berterusan kepada JBPM Sabah dan pasukan bomba suka rela jelas membuktikan kerajaan begitu komited dalam menangani masalah kebakaran di negeri ini dan ia satu cabaran kepada kontinjen di negeri ini untuk melaksanakannya,” katanya di sini, baru-baru ini.

Khiruddin Drahman berkata demikian pada majlis penyerahan kenderaan, bot dan peralatan kebombaan kepada balai-balai bomba Sabah dan pasukan bomba sukarela di ibu pejabat JBPM Sabah.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Mohd. Yusof Mohd. Gunnos.

Mengulas lanjut Khiruddin berkata, peruntukan berterusan daripada kerajaan akan membolehkan kadar kebakaran di Sabah dapat dikurangkan, terutama di kawasan pendalaman apabila pasukan bomba sukarela mempunyai kelengkapan memadam kebakaran.

Menurutnya, kehadiran pasukan bomba sukarela banyak membantu JBPM Sabah menangani dan mencegah kebakaran di kawasan pedalaman daripada merebak teruk.

Jelasnya, ada sesetengah kawasan pendalaman terletak jauh dari balai bomba dan pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk tiba memberi bantuan.

Sehubungan itu katanya, peruntukan peralatan memadam kebakaran dan pemberian jentera kepada pasukan bomba sukarela adalah sangat bertepatan, sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kadar kebakaran.

Katanya, terdapat 45 pasukan bomba sukarela di Sabah dari 37 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan kekuatan ahli seramai 1,286 orang.

“Berkat daripada aktiviti turun padang yang sering dilaksanakan oleh PBJM Sabah, kadar kebakaran di negeri ini mencatat penurunan 40 peratus. Saya berharap pencapaian baik ini dapat diteruskan pada masa depan,” katanya.

Ahli UMNO diminta kurangkan masalah peringkat bahagian


KUALA LIPIS 30 Mei - Ahli UMNO diminta mengurangkan masalah di peringkat bahagian dalam usaha membantu pemimpin mengukuhkan kedudukan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, sekiranya berlaku perpecahan di peringkat bahagian akan wujud masalah dan menyukarkan pemimpin menyatu serta memperkukuh parti.

"Kita perlu memperbaiki keadaan, bukan pemimpin sahaja, tetapi ahli-ahli di peringkat bahagian mesti buat kerja yang sesuai untuk memantapkan lagi kedudukan UMNO," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua UMNO Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua UMNO Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ketua Wanita UMNO Cameron Highlands, Ramiza Mohd. Husain dan Ketua Pemuda UMNO, Azizi Ahmad.

Menurut Lajim, ahli UMNO di semua peringkat wajar mengikis perkara remeh-temeh yang boleh menimbulkan perpecahan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap perjuangan parti.

"Pucuk pimpinan parti peringkat bahagian perlu muhasabah dan bermusyawarah dengan mengambil kira semua pandangan wakil UMNO pada setiap kali mesyuarat serta program turun padang ke kawasan masing-masing.

"Dari situ, kita akan susun semula gerak kerja supaya modus operandi lebih berkesan dan menambahkan lagi daya usaha untuk menawan hati rakyat," ujarnya.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menarik sokongan golongan muda yang menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Projek di tanah tinggi perlu kelulusan PBT - Lajim Ukin


KUALA LIPIS 28 Mei — Pemaju perumahan yang ingin melaksanakan projek perumahan, atau membina rumah di kawasan tanah tinggi atau berbukit, perlu mendapat kelulusan dan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, arahan berhubung perkara itu dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan perlu dipatuhi bagi mengelak kejadian tanah runtuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Cameron Highlands di Sungai Koyan hari ini.

"Kita berharap selepas ini semua pihak terutamanya para pemaju dapat mematuhi arahan kerajaan itu demi kebaikan bersama,” katanya yang meminta PBT lebih proaktif menjalankan kajian dan siasatan terperinci sebelum sesuatu projek perumahan membabitkan kawasan tanah tinggi diluluskan. — Bernama

Masalah buah pinggang kronik


KOTA KINABALU 26 Mei - Jumlah pesakit buah pinggang di negeri ini berada di tahap membimbangkan dengan 15 pesakit baru direkodkan setiap bulan.

Yang Dipertua Yayasan Buah Pinggang Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, peningkatan jumlah berkenaan turut menyebabkan mesin hemodialisis sedia ada tidak dapat menampung keperluan pesakit.

"Sebagaimana kita maklum, jumlah pesakit buah pinggang di negeri ini semakin hari semakin bertambah di mana pesakit buah pinggang itu pula tergolong dalam pesakit yang kronik.

"Setiap bulan mereka memerlukan kos rawatan yang tinggi yang mana ada di antara mereka pula tergolong dalam keluarga yang miskin," katanya pada sidang akhbar mengenai Majlis Pelancaran Malam Amal Yayasan Buah Pinggang Sabah di sini, semalam.

Majlis Malam Amal Yayasan Buah Pinggang yang bertujuan mengutip dana untuk yayasan berkenaan akan diadakan di Grand Ballroom, Magelan Sutera pada 8 Julai depan.

Menurut Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kini terdapat kira-kira 1,300 pesakit buah pinggang direkodkan di negeri ini.

Katanya, pesakit-pesakit tersebut memerlukan rawatan berterusan sama ada melalui rawatan penyucian darah lapisan peritoneum (CAPD) atau rawatan dialisis.

Selain itu, katanya, pesakit berkenaan juga boleh mendapatkan rawatan pemindahan buah pinggang di dalam atau luar negara.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan mengutip RM1 juta menerusi jualan meja dan derma sempena Malam Amal Yayasan Buah Pinggang Sabah tersebut.

"Jika dapat mencapai sasaran ini, kita menjangka akan mendapat RM300,000 hingga RM400,000 kutipan bersih yang dapat disalurkan ke tabung Yayasan Buah Pinggang Sabah.

"Jadi, saya merayu kepada para penderma daripada sektor korporat, swasta dan orang perseorangan supaya sama-sama membantu dan menjayakan projek amal ini," ujarnya.

Thursday, May 26, 2011

Jumlah Pesakit Buah Pinggang Di Sabah Semakin Bertambah



SIDANG MEDIA…Lajim (tengah) semasa mengadakan sidang media di majlis tersebut


KOTA KINABALU: Jumlah pesakit buah pinggang di negeri ini semakin meningkat dari semasa ke semasa, dimana dianggarkan seramai 1,300 orang pesakit buah pinggang direkodkan di negeri ini.

Menyedari hakikat itu, Yayasan Buah Pinggang Sabah (YBPS) mengambil inisatif menganjurkan Majlis Malam Amal YBPS untuk mengutip dana bagi mengisi tabung YBPS.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dijangka merasmikan majlis tersebut di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, 8 Julai depan.

Yang Dipertua YBPS, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin menyatakan perkara itu dalam sidang media di Kota Kinabalu kemarin

Menurutnya, beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan . YBPS menyasarkan kutipan sebanyak 1-juta ringgit sempena majlis amal tersebut dan hasil kutipan tersebut akan digunakan untuk membantu pesakit-buah pinggang khususnya dari segi kewangan untuk mendapatkan rawatan.

“ Selain membantu pesakit, kutipan itu juga digunakan untuk membeli mesin Hemodiasis untuk diagih-agihkan di hospital-hospital, memandangkan pesakit buah pinggang Hepatitis A dan B tidak boleh berkongsi mesin rawatan yang sama” katanya

Jelas beliau terdapat tiga kaedah digunakan untuk merawat pesakit buah pinggang, iaitu kaedah Hemodiasis, Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan pemindahan organ yang memerlukan kos yang mahal.

Sehubungan dengan itu beliau merayu kepada sektor korporat, agensi kerajaan, swasta dan orang perseorangan untuk tampil memberi sumbangan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata YBPS turut mengadakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan tahap kesedaran anggota masyarakat mengenai penyakit buah pinggang, termasuklah ceramah penjagaan buah pinggang, kempen kesedaran derma organ.

Menurutnya, usaha ini perlu memandangkan kurang 10 peratus anggota masyarakat yang sanggup menderma organ.

KPKT PANTAU SETIAP PROJEK YANG DILAKSANAKAN OLEH PBT


TERIMA SUMBANGAN...Lajim sambil diperhatikan oleh Ahli Majlis tertinggi (YBPS) menerima repelika cek berjumlah RM30,000.00 dari wakil Tan Sri Ta Kin Yan bagi pembelian meja sempana majlis makan malam amal Yayasan Buah Pinggang Sabah


KOTA KINABALU : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memantau semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, meskipun tidak mempunyai kuasa terhadap PBT pihaknya akan memberi nasihat dan pandangan kepada setiap PBT di negara ini.

"Kita akan menasihatkan semua PBT supaya mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan di kawasan masing-masing.

"Selain itu kita juga meminta penguatkuasaan diperketatkan dalam meluluskan apa-apa juga pembangunan sama ada terdahulu mahu pun di masa akan datang," katanya.

Beliau yang juga Presiden Yayasan Buah Pinggang Sabah (YBPS) berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Malam Amal Yayasan Buah Pinggang Sabah di sini kemarin

Menurut Lajim setiap PBT mempunyai undang-undang tersendiri yang ditetapkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

Beliau memberitahu, pihak kementerian hanya berfungsi sebagai penyelia serta menyediakan peruntukan kepada PBT.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh membabitkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Al-Taqwa di Hulu Langat, Selangor Sabtu lalu beliau berkata, tiada kelulusan untuk pembinaan bangunan berkenaan dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

"Tidak ada apa permohonan dan tidak ada kelulusan sebab itu tidak diketahui sama ada bangunan itu selamat atau tidak selamat," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, pihak kementerian sentiasa memantau pembangunan yang dilakukan di tanah tinggi bagi memastikan ia mengikut peraturan ditetapkan.

Katanya, tindakan tegas termasuk tidak meluluskan projek pembangunan boleh dilakukan pihaknya sekiranya sesuatu projek di kawasan tanah tinggi gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Wednesday, April 27, 2011

Rumah mampu milik akan dibina di kawasan strategik


KUALA LUMPUR 26 April — Kerajaan akan memastikan semua rumah mampu milik yang dirancang tidak dibina di kawasan kurang strategik seperti di tempat terpencil, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin.

Beliau berkata, semua faktor terutamanya kehendak serta keperluan asas seperti kemudahan hubungan, bekalan air dan elektrik akan dipastikan tersedia di kawasan itu sebelum sebarang projek perumahan itu dilaksanakan.

"Sebenarnya jika rumah-rumah itu dibina oleh kerajaan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan kajian awal tentang lokasi, kemudahan prasarana seperti jalan raya, elektrik dan air akan dilakukan terlebih dahulu.

"Kita tidak akan membina rumah-rumah berkenaan di kawasan-kawasan yang terpencil sebab kita tahu ia tidak akan dibeli dan disewa oleh bakal pembeli,” katanya menjawab soalan Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 83,376 unit rumah mampu milik dibina di seluruh negara, yang daripada jumlah itu 63,166 telah disiapkan, 15,800 dalam pembinaan dan 4,410 unit masih dalam perancangan dengan pembinaannya dijangka bermula selewat-lewatnya Julai depan. — Bernama