Tuesday, March 9, 2010

ATASI SEGARA MASALAH KEBOCORAN PAIP AIR KE MENUMBOK





PERMOHONAN BARU. Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin Ketua Umno bahagian Beaufort menerima borang permohonan baru keahlian Umno dari cawangan Kampung Tanjung Aru semasa program tersebut

MENUMBOK: Masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk sekitar Menumbok khususnya di kawasan luar bandar mendapat perhatian serius Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.

Beliau yang menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Dialog Jabatan dan Agensi Kerajaan bersama penduduk setempat di perkarangan Surau Kampung Jagus dekat sini, mahu masalah tersebut diselesaikan segera.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis tersebut Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menggesa Jabatan Air Negeri mencari jalan mengatasi masalah kebocoran saluran paip yang dikenalpasti menjadi punca bekalan air dari Loji Air Limbawang, Beaufort tidak dapat disalurkan kepada penduduk daerah kecil itu.

Hadir sama di majlis tersebut Wakil Rakyat Kawasan Kuala Penyu John Teo Mau Sing,Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Abd.Rahim Yakub,Timbalan Ketua Umno Bahagian Isnin Haji Aliasnih,Naib Ketua Umno Bahagian Datuk Kimjus Duim dan Jurutera Air Daerah Jokriee Abdul Narudin.

Menurut Lajim , jika peruntukan tambahan diperlukan bagi pemasangan paip baharu, permohonan wajar dikemukakan segera untuk tindakan lanjut.

“ Jika kerajaan boleh menyediakan peruntukan yang agak besar untuk membina Loji Air, bukanlah satu halangan bagi kerajaan memberikan peruntukan yang lebih rendah untuk membaiki saluran paip yang sudah usang ini” ketanya

Beliau berkata, loji air Limbawang berharga 30-juta ringgit yang menghasilkan 15-juta liter air sehari, sepatutnya berjaya mengatasi sepenuhnya masalah bekalan air di Menumbok.

Bagaimanapun beliau berkata, keadaan saluran paip yang sudah usang dan bocor menyebabkan penduduk terpaksa bersabar menanti bekalan air disalurkan kepada mereka.

Tambah memburukkan keadaan, apabila musim kemarau ini, sehingga memaksa Pejabat Daerah Kuala Penyu menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air.

Antara kampung yang masih berhadapan masalah bekalan air bersih ialah Kampung Tanjung Aru, Jagus, Kilgugus,Melikai , Menumbok dan Mempakul.

No comments:

Post a Comment