Sunday, April 11, 2010

SASTERA DAN BUDAYA SEBAGAI NILAI TAMBAH MEB






Ketibaan Datuk Seri Lajim disambut oleh ADUN Membakut Datuk Haji Mohd.Ariffin Arrif,Pengarah DBP Cawangan Sabah Zubaidi Abad dan Yang Dipertua (BAHASA) Jasni Matlain ke majlis tersebut

PUTATAN:- Program sastera dan budaya dan hal-hal yang berkaitan dengan bidang penulisan dan kesenian dicadang supaya dijadikan sebagai satu elemen nilai tambah kepada Modul Ekonomi Baru (MEB).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, ini selari dengan usaha kerajaan mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan genarasi muda.

“Ini khususnya, memupuk perpaduan kaum dan integerasi nasional serta pembentukan nilai-nilai murni masyarakat,”katanya ketika berucap merasmikan program “Bicara Eksekutif ‘dan Penutupan Seminar Persuratan sempena sambutan 40 Tahun Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (P) di sini, hari ini.

Lajim juga berharap agar bidang sastera dan budaya mampu menjadi alat bantu dalam membentuk dan menjadikan generasi muda negara ini sebagai satu kumpulan masyarakat yang menghargai warisan bahasa, budaya dan sastera negara ini.

Ini kerana, katanya, bidang sastera dan budaya tidak hanya berkaitan dengan kegiatan sastera dan budaya yang sering diketahui umum, seperti dalam acara baca puisi, tari menari atau karya penulisan dalam pelbagai media semata-mata, tetapi ia juga berkaitan dengan aspek pembangunan modal insan.

Katanya, elemen budaya dan sastera itu sangat penting bagi memastikan kemerdekaan yang kita kecapi ini akan berterusan untuk jangka masa yang lama.

“Jika kita tidak belajar untuk hidup bersatu padu, tidak mengeratkan perpaduan antara satu sama lain, seperti yang dinyatakan dalam Gagasan 1Malaysia itu, negara kita akan hancur kerana banyak negara lain di dunia ini, akhirnya berpecah kerana masyarakatnya tidak hidup bersatu padu,”tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mahu para penulis khususnya di negeri ini supaya mempunyai jatidiri dan bersikap bertanggungjawab dalam setiap penulisan yang mereka hasilkan.

Ini kerana, katanya, sebarang penulisan yang tidak berasaskan kepada fakta yang tepat ianya boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk kepada kerajaan dan juga perpaduan kaum masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam pada itu, Lajim juga mahu supaya para penulis di negeri ini sentiasa ingin mahu berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan mutu penulisan dan karya mereka dan mampu bersaing dengan rakan-rakan penulis di Semenanjung dan Sarawak.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan supaya Bahasa dan beberapa agensi yang berkaitan dengan sastera dan budaya di negeri ini agar memikirkan untuk mengadakan program yang sesuai untuk dilaksanakan di kawasan-kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Pada majlis itu, Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut mengumumkan RM10,000 daripada peruntukan Parlimen beliau akan digunakan untuk membeli buku-buku yang dihasilkan oleh penulis tempatan di negeri ini untuk disumbangkan kepada para pelajar di kawasan Parlimen Beaufort.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Membakut, Datuk MohdArifin Mohd Arif, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah, Sallehuddin md Salleh, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Sabah, Zubaidi Abas dan Yang Dipertua Bahasa, Jasni Matlani.

No comments:

Post a Comment