Wednesday, June 10, 2009

Kontraktor cemerlang berpeluang dapat projek






KUCHING 8 Jun - Syarikat kontraktor terutamanya bumiputera yang mempunyai rekod cemerlang dalam melaksanakan projek-projek kerajaan akan dipertimbangkan untuk memperoleh projek dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, beliau sendiri memberi jaminan mana-mana kontraktor bumiputera yang berwibawa dalam menyiapkan projek mengikut jadual serta prospek yang telah ditetapkan, juga akan diberikan pertimbangan.
''Ini adalah konsep kerajaan yang ditunjangi oleh Barisan Nasional (BN) kerana jika ada kontraktor di kalangan bumiputera yang berwibawa, maka mereka boleh dipertimbangkan untuk memperoleh projek dalam RMK-10,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi yang pertama sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke negeri ini serta lawatan ke Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) di Jalan Batu Gong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Lajim berkata, RPR di Batu Gong yang sedang dibina dan mempunyai tiga bilik itu adalah untuk disewa terutamanya kepada golongan yang baru mendirikan rumahtangga dan mereka yang datang dari luar Kuching seperti Miri, Sibu dan Bintulu.
Katanya, projek RPR dibiayai oleh Kerajaan Pusat, namun ia diserahkan kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya termasuk sama ada ingin menjual unit RPR berkenaan selepas tempoh lima tahun atau terus disewakan dengan harga RM150 sebulan.
Tambahnya, rumah RPR seumpama itu dijual dengan harga RM42,000 untuk di Sabah dan Sarawak selepas disubsidikan oleh kerajaan.
''Di Sarawak sahaja, terdapat lima projek RPR dilaksanakan iaitu Taman Sri Wangi, Taman Dahlia di Kuching manakala tiga lagi masing-masing di Batu Gong, Sibu dan Bintulu.
''Dua projek RPR telah siap iaitu di Taman Sri Wangi dengan 250 unit manakala Taman Dahlia sebanyak 816 unit," ujarnya.

No comments:

Post a Comment