Thursday, October 22, 2009

Cadangan adakan perhimpunan Umno bergilir belum sesuai untuk Sabah







Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin diiringi oleh Bendahari Umno Bahagian Beaufort Mohd.Zahari Zinin bersalaman dengan orang ramai sejurus tiba di majlis tersebut

LABUAN: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lajim Haji Ukin berkata, cadangan untuk mengadakan perhimpunan agung Umno secara bergilir di setiap ibu negeri perlu kajian mendalam terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
Katanya, bagi negeri Sabah ia amat sukar dan tidak relevan untuk dilaksanakan ketika ini, kerana ia memerlukan persediaan logistik yang lebih besar di samping memerlukan kos yang tinggi.
“Bagi negeri-negeri di Semenanjung mungkin ia dapat dilaksanakan kerana ahli-ahli perwakilan boleh menaiki bas untuk menghadiri perhimpunan yang dibuat di luar daripada Kuala Lumpur… tetapi bagi Sabah ia memerlukan penerbangan yang sudah pasti kos pengangkutannya terlalu mahal,” katanya ketika mengulas cadangan Pergerakan Pemuda Umno Sabah yang mahu Perhimpunan Agung Umno di bawa ke setiap ibu negeri secara bergilir-gilir.
Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort di temui pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Hari Raya bersama warga kawasan Parlimen Beaufort di Dewan SJKC Chi Wen, di sini pada Ahad.
Turut hadir, Bendahari Umno Beaufort, Zahari Zinin, Pengerusi Penganjur Jonshin Haji Suntrak, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Labuan, Johari Abidin serta kira-kira 1,500 warga Beaufort.
Pada Sabtu, Wakil Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Mohd Joh Wid mencadangkan perkara itu ketika membahaskan usul terima kasih atas ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Khairy Jamaluddin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurut Lajim, persidangan yang diadakan setiap tahun di PWTC tidak seharusnya dibawa keluar daripada Kuala Lumpur kerana PWTC adalah pusat dan ibu pejabat Umno yang bukan saja mempunyai kelengkapan serta kemudahan yang lebih baik tetapi juga dapat memberikan keselesaan kepada ahli-ahli Umno yang menghadiri persidangan itu.
Ditanya mengenai sikap ahli-ahli dan pemimpin Umno yang masih mengunakan taktik kotor seperti cantas mencatas untuk mendapatkan jawatan dalam parti, beliau berkata kegiatan inilah yang telah menyebabkan Umno tewas dikebanyakan kawasan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12.
Katanya, kegiatan seperti ini perlu dikikis segera jika ingin melihat semula Umno menjadi parti yang kuat, dan parti yang disukai oleh rakyat.

No comments:

Post a Comment