Thursday, November 19, 2009

Kerajaan Siapkan 12 Projek Perumahan Terbengkalai Sejak 1990





Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin bersama pegawai pegawai kanan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika mengadakan lawatan ke Projek PPR Telipok Ria

KUALA LUMPUR:
Kerajaan telah mengambil alih dan menyiapkan 12 daripada 148 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara sejak 1990, Dewan Rakyat diberitahu Khamis.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata sebanyak 49 projek daripada jumlah keseluruhan itu masih dalam proses pemulihan, manakala baki 87 projek lagi masih terbengkalai.

"Kita sedang dalam proses untuk mengenal pasti di mana projek-projek yang perlu kita pulih dan kementerian sedang berusaha untuk menyelamatkan projek-projek itu.

"Namun demikian peruntukan sebanyak RM200 juta oleh Kementerian Kewangan kepada kementerian ini untuk menyelesai dan memulihkan 87 projek terbengkalai itu sememangnya tidak mencukupi," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Noraini ingin tahu antara usaha dan langkah kerajaan mengambil alih projek perumahan terbengkalai yang membebankan ramai pembeli rumah.

Lajim berkata antara kriteria utama bagi kerajaan mengambil alih projek perumahan yang terbengkalai ialah projek berkenaan sudah hampir 90 hingga 95 peratus siap dan projek yang sudah lama terbengkalai iaitu 10 tahun atau lebih.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 6,706 unit atau 10 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) telah disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

"Sehingga 30 Sep lepas kesemua projek itu masih lagi dipelbagai peringkat pelaksanaan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 128,695 unit rumah pelbagai kategori pula telah disiapkan oleh pihak swasta pada tahun lepas, manakala 45,248 unit rumah lagi disiapkan pada suku kedua tahun ini.

No comments:

Post a Comment