Saturday, December 11, 2010

Pemaju projek terbengkalai boleh didakwa



Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.... Pemaju Projek Terbengkalai Boleh Didakwa

KUALA LUMPUR :Pemaju yang mengabaikan sesuatu projek perumahan atau menyebabkan projek tersebut terbengkalai boleh didakwa apabila pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) diluluskan di parlimen kelak.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata pada masa ini belum ada peruntukan khusus mengikut akta tersebut untuk mengambil tindakan ke atas pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek perumahan.

Beliau berkata kementerian sedang bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan (Redha) untuk menjalankan kajian dalam meminda peruntukan Akta 118 dan memastikan kepentingan pembeli rumah lebih terjamin.

"Cadangan pindaan peruntukan Akta 118 dijangka akan dibentangkan di parlimen dalam masa terdekat ini," katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Lajim juga berkata antara pindaan terhadap akta itu adalah mengenakan penalti yang lebih tinggi kepada pemaju perumahan yang mengabaikan projek dan menyebabkan projek terbengkalai.

Katanya bagi tempoh 2009 hingga 2010, terdapat 161 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara di mana sebanyak 51 projek atau 32 peratus sudah disiapkan dan diberikan sijil layak menduduki (CF).

"Sebanyak 58 projek (36 peratus) projek perumahan sedang dipulihkan dan dalam proses melantik pemaju penyelamat, manakala bagi 52 projek (32 peratus), kementerian sedang berusaha mencari pemaju penyelamat," katanya.

Beliau turut memaklumkan Dewan bahawa kementerian telah menyenaraihitam pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek dan mereka tidak dibenarkan untuk menubuhkan syarikat baru atau memajukan projek baru.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Lajim berkata kerajaan memandang serius masalah projek terbengkalai dan telah memperuntukkan RM200 juta dalam Bajet 2011 bagi menjalankan projek pemulihan.

"Bagaimanapun, peruntukan itu hanya akan disalurkan untuk memulihkan projek rumah kos rendah yang terbengkalai," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Teng, Lajim berkata kementerian menghadapi beberapa halangan untuk menyelesaikan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Antaranya ialah sukar mendapatkan butiran projek, ketiadaan rekod senarai pembeli rumah, isu pertikaian dengan tuan tanah bagi tapak projek dan isu membabitkan perundangan.

No comments:

Post a Comment