Sunday, July 3, 2011

Tingkatkan momentum BN





HADIAH…Lajim turut menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang dalam pelbagai pertandingan yang diadakan sempana program tersebut


KUALA PENYU : Pemimpin dan ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini perlu meningkatkan momentum yang sediaada bagi memastikan gelaran sebagai “Simpanan Tetap BN “kekal dan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, momentum ini perlu dipelihara dan dipertahankan dengan tidak membangkitkan isu yang menjejaskan kekuatan BN seperti tuntutan kerusi bagi mana mana parti kompenan BN untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang

“ Sepatutnya kita menumpukan usaha memperkasakan parti masing-masing disamping melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan parti dari pada membangkitkan isu tuntutan kerusi pada pilihanraya akan datang” katanya ketika ketika ditemui di sini selepas merasmikan Program Juara Rakyat bagi peringkat daerah Mengundi Tempurung baru baru ini

Beliau yang juga Pengerusi BN bagi Parlimen Beaufort berkata demikian ketika diminta mengulas isu tuntutan dan pembahagian kerusi oleh parti parti kompenan BN yang akan bertanding pada pilihanraya akan datang yang mula disuarakan oleh beberapa parti kompenan BN di negeri ini melalui media cetak

Menurut Ahli Parlimen Beaufort ini setiap parti kompenan BN berhak menyuarakan pendapat serta pandangan mereka bagi menununtut mana mana kawasan yang bakal mereka tandingi pada pilihanraya umum akan datang ,bagaimanapun katanya kenyataan terbuka melalui media boleh mengeruhkan suasana dan ianya boleh menjejaskan memontum perpaduan BN yang sediaada di negeri ini.

“ Isu ini sepatutnya dibangkitkan dalam perbincangan tertutup dan ianya akan diputuskan dalam konsep serta semangat BN bila tiba masanya dibincangkan soal pemilihan calon pilihanraya umum akan datang yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak sebagai Pengerusi BN” katanya

Sehubungan dengan itu katanya setiap parti kompenan BN di negeri ini perlu bersedia dalam erti kata sebenarnya dan bukan sekadar bersedia di mulut dengan mempastikan kekuatan serta sokongan rakyat sentiasa relevan dan memihak kepada BN pada pilihanraya umum akan datang

Katanya, pilihan raya umum akan datang dilihat sebagai getir yang perlu dilihat secara menyeluruh agar BN benar benar bersedia berhadapan dengan pilihanraya umu akan datang dan kekal sebagai parti yang memerintah

“ Keadaan ini tidaklah menggambarkan bahawa BN atau UMNO sekarang berada dalam situasi lemah dan tidak kuat bagaimanapun kita perlu berkerja keras bagi mempastikan kejayaan dapat di capai oleh BN dimana perkhidmatan yang kita berikan kepada ahli dan rakyat perlu relevan agar rakyat terus menyokong BN” tegas Lajim

Sunday, June 19, 2011

Bersih jalan singkat guling kerajaan - TPM





Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi oleh Lajim bersalaman dengan para perwakilan yang hadir ke persidangan tersebut

BEAUFORT Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan haram Bersih adalah jalan pintas parti pembangkang untuk ke Putrajaya, sekali gus menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat.

Sambil menegaskan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu didalangi oleh parti-parti pembangkang, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang kini sedar sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kembali meningkat.

Menurut beliau, itu sebenarnya matlamat mereka kerana segala tuntutan Bersih berkaitan perjalanan pilihan raya telah dijawab oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pertemuan antara kedua-dua pihak sebelum ini.

"Kenapa sekarang baru nak pertikai perjalanan pilihan raya. Jika tidak bersih maka semua tidak bersih termasuk negeri-negeri yang dimenangi mereka dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan pula 'double standard' yang dia menang...bersih, apabila kalah tuduh SPR tidak bersih. Malah mereka juga tidak cabar keputusan pilihan raya di mahkamah dan tidak juga bangkitkan di platform sah iaitu di Parlimen," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Jelas Muhyiddin, pembangkang sebenarnya hendak menggunakan platform itu untuk membangkitkan kemarahan rakyat dan seterusnya mengekalkan momentum bagi menghadapi pilihan raya umum.

Selain itu, katanya, terdapat juga motif tersirat iaitu untuk menutup kelemahan dan kes-kes yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat melupakannya dan sebaliknya memarahi kerajaan.

"Apa wajarnya pilih demokrasi jalanan kerana ia tidak akan sama sekali mampu menyelesaikan masalah, negara mempunyai Parlimen dan undang-undang, gunakanlah saluran yang sah," katanya yang mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya dengan dakyah mereka yang amat terdesak itu.

Ditanya mengenai pendirian Pergerakan Pemuda UMNO yang akan menyertai perhimpunan itu bagi melawan Bersih, Muhyiddin berkata, ia adalah manifestasi bahawa tindakan tidak bertanggungjawab itu ditentang oleh semua pihak.

"Pemuda berhak memberi pendapat. Sama ada ia wajar atau tidak, itu harus difikirkan semula untuk mengelak berlakunya pertembungan yang akan menjejaskan kestabilan negara.

"Boleh atau tidak, jawapannya mudah iaitu apabila kerajaan kata tidak boleh diadakan perhimpunan haram, maka semua pihak tidak terkecuali, tidak kira mana-mana pihak," katanya.

Kekalkan Sabah ‘simpanan tetap’ BN - Lajim Ukin



Datuk Seri Lajim Ukin ketika menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada salah seorang kanak-kanan OKU sempana program tersebut


KUALA PENYU, Pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah perlu meningkatkan momentum sedia ada bagi memastikan negeri ini kekal sebagai ‘simpanan tetap’ BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin berharap isu yang menjejaskan kekuatan BN, termasuk tuntutan kerusi oleh mana-mana parti kompenan BN untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, tidak dibangkitkan atau dibincangkan secara terbuka dalam media.

"Sepatutnya tumpuan kita sekarang ialah memperkasa parti masing-masing di samping melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat bagi peringkat daerah mengundi Tempurung, dekat sini.

Lajim, yang juga pengerusi BN bagi Parlimen Beaufort, berkata demikian ketika diminta mengulas isu tuntutan dan pembahagian kerusi oleh parti-parti kompenan BN yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang yang mula disuarakan oleh beberapa parti kompenan BN di negeri ini melalui media cetak.

Beliau berkata walaupun setiap parti kompenan BN berhak menyuarakan pendapat serta pandangan mereka bagi menuntut mana-mana kawasan yang bakal mereka tandingi, namun kenyataan terbuka melalui media boleh mengeruhkan suasana, sekaligus boleh menjejaskan momentum perpaduan BN yang sedia ada di negeri ini. — Bernama

Kuala Penyu dijadikan hab pelancongan pedalaman


Lajim Ukin (dua dari kanan) melihat hasil tangkapan para peserta yang menyertai pertandingan memancing di Kampung Tempurung,

KUALA PENYU : Kerajaan negeri akan menjadikan daerah ini sebagai salah sebuah hab pelancongan kawasan pedalaman di negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, daerah itu amat berpotensi kerana mempunyai banyak kawasan menarik serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

"Bagaimanapun perancangan jangka panjang untuk membangunkan sektor pelancongan di daerah itu perlu dilakukan dengan teliti.

"Ini penting bagi memastikan ia tidak hanya bergantung pada satu produk pelancongan sahaja tetapi dipelbagaikan meliputi aspek penginapan, budaya, makanan dan kraftangan," katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat daerah di Kampung Tempurung di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dan Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmond Teo.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, pada masa ini Kuala Penyu sudah pun dikenali di seluruh dunia dengan keunikan Pulau Tiga.

Malah katanya, jajaran pantai yang bersih di sepanjang daerah itu amat menarik dan berpotensi dibangunkan sebagai sebuah pusat pelancongan baru.

"Selain itu kepelbagaian budaya masyarakat dan hasil kraf tangan unik masyarakat di daerah ini juga pastinya dapat menggamit pelancong ke daerah ini," katanya.

Sementara itu, beliau berharap masyarakat di daerah ini merebut peluang dengan menceburkan diri dalam sektor pelancongan seperti mewujudkan pusat inap desa dan sebagainya.

Kerajaan komited bantu rakyat



LAJIM Ukin (dua dari kanan) berbual dengan beberapa pemimpin masyarakat di Balai Raya Kampung Saliwangan, Beaufort.

BEAUFORT Pelaksanaan projek menaik taraf jalan raya dari Kampung Jempangah hingga ke Batu 60, sejauh 17 kilometer bernilai RM82 juta yang diluluskan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah mampu merubah landskap pembangunan dan ekonomi rakyat di kawasan ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata, sebelum ini penduduk di kawasan tersebut hanya bergantung kepada sistem pengangkutan kereta api.

''Namun, keadaan tersebut akan berubah dalam tempoh terdekat. Ia bukan sahaja memberikan kemudahan asas yang lebih kepada penduduk, tetapi turut melonjakkan taraf sosio ekonomi mereka.

''Komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk merubah sosioekonomi rakyat melalui kemudahan asas yang disediakan selaras dengan hasrat kerajaan melaksana Transformasi Ekonomi (ETP) serta Model Ekonomi Baru (NEM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," katanya.

Beliau berucap merasmikan penutupan Pesta Kaamatan Zon Saliwangan yang diadakan di Balai Raya Kampung Saliwangan, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Isnin Aliasnih; Pengerusi MCA Beaufort, Peter Chew dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (Sabah), Abd. Sanon Sapri.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, beliau mahu rakyat melihat perubahan pembangunan sebagai asas untuk mereka mengubah cara berfikir dan berusaha memperbaiki taraf hidup masing-masing.

''Sudah tentu kemudahan dan pembangunan yang disediakan oleh kerajaan tidak akan memberikan impak kepada pembangunan ekonomi jika rakyat gagal memanfaatkan kemudahan serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan," ujarnya.

Thursday, June 16, 2011

Tanggapan ATM goyang kaki salah - Zahid Hamidi


AHMAD Zahid Hamidi memakaikan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) kepada Lajim Ukin semasa hadir pada perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpu


KUALA LUMPUR Tanggapan negatif sesetengah masyarakat negara ini yang sering dimomokkan oleh pihak tertentu bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya 'goyang kaki' ketika negara berada di dalam keadaan aman adalah salah.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan strategi laut biru berlandaskan konsep inovasi yang diamalkan ketika ini memastikan ATM boleh berkhidmat dalam sebarang bentuk keadaan sama ada perang mahupun aman.

Beliau berkata, dalam tempoh kurang enam bulan, Kementerian telah berjaya menembusi kejumudan dan tanggapan orang ramai mengenai pretasi dan kemampuan ATM untuk berkhidmat dengan lebih baik sehingga mampu memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010.

"Oleh itu, pencapaian ini bukan sesuatu kebanggaan sebaliknya ia merupakan suatu kesyukuran bagi kita untuk menjadikannya suatu tapak untuk bergerak ke langkah-langkah yang seterusnya.

"Dengan harapan tidak mahu riak dan takabbur, mudah-mudahan Allah akan memberi petunjuk kepada kita supaya pelbagai kejayaan lain akan dapat digapai selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di Dataran Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Ismail Ahmad; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengingatkan warga Kementerian Pertahanan supaya tidak rasa terhina dengan tohmahan masyarakat serta tidak berasa rendah diri dengan tugas yang mereka lakukan.

Sebaliknya kata beliau, mereka perlu membuktikan bahawa tentera boleh bersama dengan rakyat dan masyarakat akar umbi dalam melakukan pertahanan menyeluruh terhadap mereka.

"Sebenarnya, kita telah dapat melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain namun perlu saya tekankan bahawa kita tidak harus berasa bangga sebaliknya bersyukur dan menjauhi rasa riak dengan kemampuan yang kita miliki," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu warga Kementerian Pertahanan supaya menjadikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sebagai panduan bagi mereka melunaskan tanggungjawab kepada negara.

Tambah beliau, mereka perlu melakukan beberapa tindakan yang dapat membantu kerajaan dan pada masa yang sama memastikan Kementerian Pertahanan berada di barisan hadapan dalam menentukan pelaksanaan GTP.

Saturday, June 4, 2011

Bomba sukarela diingat jangan salah guna kuasa


Sebahagian anggota pasukan bomba sukarela seluruh Sabah gembira selepas pasukan itu menerima kenderaan, bot dan peralatan kebombaan di ibu pejabat JBPM Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 1 Jun – Anggota bomba sukarela diingatkan untuk tidak menyalah guna kuasa yang telah diamanahkan demi kepentingan peribadi atau mendapat nama dalam kalangan masyarakat setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, biarpun tiada sebarang laporan berhubung perkara itu ketika ini, namun peringatan perlu diberikan kepada ahli sukarelawan tersebut demi menjaga imej pasukan bomba.

Katanya, beliau berharap semua anggota bomba sukarela dapat menjaga keperibadian dengan baik dan tidak menggadaikan amanah yang diberikan demi memperoleh keuntungan yang tidak seberapa.

“Saya tidak mahu anggota bomba sukarela terlibat dengan kegiatan salah guna kuasa, kerana ia akan merosakkan imej bomba itu sendiri yang berkhidmat untuk kepentingan masyarakat,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kenderaan, bot dan peralatan kebombaan kepada balai-balai bomba Sabah dan pasukan bomba sukarela di ibu pejabat JBPM Sabah.

Mengulas lanjut Lajim berkata, dia tidak mahu anggota bomba sukarela terlibat dengan kegiatan tidak bermoral seperti salah guna kuasa seperti mana yang pernah terjadi kepada agensi lain sebelum ini.

Menurutnya, jika berlaku aktiviti salah guna kuasa atau menggunakan peralatan kebombaan untuk menyamar, ia akan membuatkan orang ramai hilang kepercayaan kepada pasukan bomba sukarela.

Jelasnya, perkara tersebut akan menimbulkan masalah pada masa hadapan dan kemungkinan akan menyukarkan khidmat mereka jika berlaku sebarang kejadian yang memerlukan khidmat mereka.

“Saya tidak mahu perkara sebegini kerana ia akan menyebabkan kesukaran pada masa depan, malah memburukkan nama jabatan yang sememangnya ikhlas memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau lagi, sehingga kini 323 pasukan bomba sukarela di seluruh negara dianggotai oleh kira-kira 13,000 orang.

Jelasnya, dengan jumlah yang besar itu, beliau sangat berpuas hati dengan sumbangan yang telah diberikan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagaimanapun, katanya, aktiviti pasukan bomba sukarela di Sabah masih lagi kurang memberangsangkan berbanding pasukan sama di Semenanjung, terutama di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Lajim turut menegaskan bahawa JBPM akan terus memberi latihan kepada pasukan bomba sukarela dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran menghadapi situasi sukar.

Jelasnya, tidak berfaedah jika pasukan bomba sukarela mempunyai peralatan yang baik, tetapi tidak berkemahiran dalam menggunakannya ketika berhadapan kebakaran besar atau situasi tidak diduga.