Saturday, June 4, 2011

Bomba sukarela diingat jangan salah guna kuasa


Sebahagian anggota pasukan bomba sukarela seluruh Sabah gembira selepas pasukan itu menerima kenderaan, bot dan peralatan kebombaan di ibu pejabat JBPM Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 1 Jun – Anggota bomba sukarela diingatkan untuk tidak menyalah guna kuasa yang telah diamanahkan demi kepentingan peribadi atau mendapat nama dalam kalangan masyarakat setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, biarpun tiada sebarang laporan berhubung perkara itu ketika ini, namun peringatan perlu diberikan kepada ahli sukarelawan tersebut demi menjaga imej pasukan bomba.

Katanya, beliau berharap semua anggota bomba sukarela dapat menjaga keperibadian dengan baik dan tidak menggadaikan amanah yang diberikan demi memperoleh keuntungan yang tidak seberapa.

“Saya tidak mahu anggota bomba sukarela terlibat dengan kegiatan salah guna kuasa, kerana ia akan merosakkan imej bomba itu sendiri yang berkhidmat untuk kepentingan masyarakat,” katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kenderaan, bot dan peralatan kebombaan kepada balai-balai bomba Sabah dan pasukan bomba sukarela di ibu pejabat JBPM Sabah.

Mengulas lanjut Lajim berkata, dia tidak mahu anggota bomba sukarela terlibat dengan kegiatan tidak bermoral seperti salah guna kuasa seperti mana yang pernah terjadi kepada agensi lain sebelum ini.

Menurutnya, jika berlaku aktiviti salah guna kuasa atau menggunakan peralatan kebombaan untuk menyamar, ia akan membuatkan orang ramai hilang kepercayaan kepada pasukan bomba sukarela.

Jelasnya, perkara tersebut akan menimbulkan masalah pada masa hadapan dan kemungkinan akan menyukarkan khidmat mereka jika berlaku sebarang kejadian yang memerlukan khidmat mereka.

“Saya tidak mahu perkara sebegini kerana ia akan menyebabkan kesukaran pada masa depan, malah memburukkan nama jabatan yang sememangnya ikhlas memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau lagi, sehingga kini 323 pasukan bomba sukarela di seluruh negara dianggotai oleh kira-kira 13,000 orang.

Jelasnya, dengan jumlah yang besar itu, beliau sangat berpuas hati dengan sumbangan yang telah diberikan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagaimanapun, katanya, aktiviti pasukan bomba sukarela di Sabah masih lagi kurang memberangsangkan berbanding pasukan sama di Semenanjung, terutama di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Lajim turut menegaskan bahawa JBPM akan terus memberi latihan kepada pasukan bomba sukarela dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran menghadapi situasi sukar.

Jelasnya, tidak berfaedah jika pasukan bomba sukarela mempunyai peralatan yang baik, tetapi tidak berkemahiran dalam menggunakannya ketika berhadapan kebakaran besar atau situasi tidak diduga.

No comments:

Post a Comment