Saturday, June 4, 2011

Ahli UMNO diminta kurangkan masalah peringkat bahagian


KUALA LIPIS 30 Mei - Ahli UMNO diminta mengurangkan masalah di peringkat bahagian dalam usaha membantu pemimpin mengukuhkan kedudukan parti menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, sekiranya berlaku perpecahan di peringkat bahagian akan wujud masalah dan menyukarkan pemimpin menyatu serta memperkukuh parti.

"Kita perlu memperbaiki keadaan, bukan pemimpin sahaja, tetapi ahli-ahli di peringkat bahagian mesti buat kerja yang sesuai untuk memantapkan lagi kedudukan UMNO," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua UMNO Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua UMNO Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ketua Wanita UMNO Cameron Highlands, Ramiza Mohd. Husain dan Ketua Pemuda UMNO, Azizi Ahmad.

Menurut Lajim, ahli UMNO di semua peringkat wajar mengikis perkara remeh-temeh yang boleh menimbulkan perpecahan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap perjuangan parti.

"Pucuk pimpinan parti peringkat bahagian perlu muhasabah dan bermusyawarah dengan mengambil kira semua pandangan wakil UMNO pada setiap kali mesyuarat serta program turun padang ke kawasan masing-masing.

"Dari situ, kita akan susun semula gerak kerja supaya modus operandi lebih berkesan dan menambahkan lagi daya usaha untuk menawan hati rakyat," ujarnya.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menarik sokongan golongan muda yang menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

No comments:

Post a Comment