Sunday, June 19, 2011

Kerajaan komited bantu rakyat



LAJIM Ukin (dua dari kanan) berbual dengan beberapa pemimpin masyarakat di Balai Raya Kampung Saliwangan, Beaufort.

BEAUFORT Pelaksanaan projek menaik taraf jalan raya dari Kampung Jempangah hingga ke Batu 60, sejauh 17 kilometer bernilai RM82 juta yang diluluskan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah mampu merubah landskap pembangunan dan ekonomi rakyat di kawasan ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata, sebelum ini penduduk di kawasan tersebut hanya bergantung kepada sistem pengangkutan kereta api.

''Namun, keadaan tersebut akan berubah dalam tempoh terdekat. Ia bukan sahaja memberikan kemudahan asas yang lebih kepada penduduk, tetapi turut melonjakkan taraf sosio ekonomi mereka.

''Komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah untuk merubah sosioekonomi rakyat melalui kemudahan asas yang disediakan selaras dengan hasrat kerajaan melaksana Transformasi Ekonomi (ETP) serta Model Ekonomi Baru (NEM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)," katanya.

Beliau berucap merasmikan penutupan Pesta Kaamatan Zon Saliwangan yang diadakan di Balai Raya Kampung Saliwangan, di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Isnin Aliasnih; Pengerusi MCA Beaufort, Peter Chew dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (Sabah), Abd. Sanon Sapri.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, beliau mahu rakyat melihat perubahan pembangunan sebagai asas untuk mereka mengubah cara berfikir dan berusaha memperbaiki taraf hidup masing-masing.

''Sudah tentu kemudahan dan pembangunan yang disediakan oleh kerajaan tidak akan memberikan impak kepada pembangunan ekonomi jika rakyat gagal memanfaatkan kemudahan serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment