Saturday, June 4, 2011

Lonjak kualiti bomba Sabah



Lajim Ukin (tengah) memeriksa bot penyelamat yang akan diagihkan kepada JBPM dan pasukan bomba sukarela di ibu pejabat JBPM Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 1 Jun – Komitmen kerajaan untuk memantapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah, terbukti apabila peruntukan peralatan keselamatan dan jentera bernilai lebih RM1 juta diserahkan baru-baru ini.

Apa yang menarik daripada majlis pengagihan bantuan tersebut adalah skuad bomba sukarela Sabah turut menerima tempiasnya.

Selain menerima baju api, topi keselamatan, pam angkut, alatan pemadam dan kasut, tiga buah pasukan bomba sukarela terpilih mendapat bantuan kenderaan Proton Arena bagi melancarkan aktiviti memadam kebakaran di kawasan masing-masing.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Khiruddin Drahman berkata, dua jentera penyelamat rapid (RRV), bot aluminium (18 buah), van Nissan Urvan (14 buah) dan pelbagai peralatan keselamatan lain diserahkan kepada balai bomba di seluruh Sabah.

Katanya, tiga kenderaan jenis Proton Arena turut diserahkan kepada tiga pasukan bomba sukarela terpilih di Klias, Kampung Pangkalan Abai di Kota Belud dan Kampung Tingkalanon di Kota Marudu bagi membantu melancarkan aktiviti memadam kebakaran.

“Peruntukan berterusan kepada JBPM Sabah dan pasukan bomba suka rela jelas membuktikan kerajaan begitu komited dalam menangani masalah kebakaran di negeri ini dan ia satu cabaran kepada kontinjen di negeri ini untuk melaksanakannya,” katanya di sini, baru-baru ini.

Khiruddin Drahman berkata demikian pada majlis penyerahan kenderaan, bot dan peralatan kebombaan kepada balai-balai bomba Sabah dan pasukan bomba sukarela di ibu pejabat JBPM Sabah.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Mohd. Yusof Mohd. Gunnos.

Mengulas lanjut Khiruddin berkata, peruntukan berterusan daripada kerajaan akan membolehkan kadar kebakaran di Sabah dapat dikurangkan, terutama di kawasan pendalaman apabila pasukan bomba sukarela mempunyai kelengkapan memadam kebakaran.

Menurutnya, kehadiran pasukan bomba sukarela banyak membantu JBPM Sabah menangani dan mencegah kebakaran di kawasan pedalaman daripada merebak teruk.

Jelasnya, ada sesetengah kawasan pendalaman terletak jauh dari balai bomba dan pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk tiba memberi bantuan.

Sehubungan itu katanya, peruntukan peralatan memadam kebakaran dan pemberian jentera kepada pasukan bomba sukarela adalah sangat bertepatan, sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kadar kebakaran.

Katanya, terdapat 45 pasukan bomba sukarela di Sabah dari 37 kawasan Dewan Undangan Negeri dengan kekuatan ahli seramai 1,286 orang.

“Berkat daripada aktiviti turun padang yang sering dilaksanakan oleh PBJM Sabah, kadar kebakaran di negeri ini mencatat penurunan 40 peratus. Saya berharap pencapaian baik ini dapat diteruskan pada masa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment