Thursday, May 26, 2011

KPKT PANTAU SETIAP PROJEK YANG DILAKSANAKAN OLEH PBT


TERIMA SUMBANGAN...Lajim sambil diperhatikan oleh Ahli Majlis tertinggi (YBPS) menerima repelika cek berjumlah RM30,000.00 dari wakil Tan Sri Ta Kin Yan bagi pembelian meja sempana majlis makan malam amal Yayasan Buah Pinggang Sabah


KOTA KINABALU : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memantau semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, meskipun tidak mempunyai kuasa terhadap PBT pihaknya akan memberi nasihat dan pandangan kepada setiap PBT di negara ini.

"Kita akan menasihatkan semua PBT supaya mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan di kawasan masing-masing.

"Selain itu kita juga meminta penguatkuasaan diperketatkan dalam meluluskan apa-apa juga pembangunan sama ada terdahulu mahu pun di masa akan datang," katanya.

Beliau yang juga Presiden Yayasan Buah Pinggang Sabah (YBPS) berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Malam Amal Yayasan Buah Pinggang Sabah di sini kemarin

Menurut Lajim setiap PBT mempunyai undang-undang tersendiri yang ditetapkan oleh kerajaan negeri masing-masing.

Beliau memberitahu, pihak kementerian hanya berfungsi sebagai penyelia serta menyediakan peruntukan kepada PBT.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh membabitkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Al-Taqwa di Hulu Langat, Selangor Sabtu lalu beliau berkata, tiada kelulusan untuk pembinaan bangunan berkenaan dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

"Tidak ada apa permohonan dan tidak ada kelulusan sebab itu tidak diketahui sama ada bangunan itu selamat atau tidak selamat," ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, pihak kementerian sentiasa memantau pembangunan yang dilakukan di tanah tinggi bagi memastikan ia mengikut peraturan ditetapkan.

Katanya, tindakan tegas termasuk tidak meluluskan projek pembangunan boleh dilakukan pihaknya sekiranya sesuatu projek di kawasan tanah tinggi gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

No comments:

Post a Comment