Friday, January 22, 2010

Cabaran UMNO Sabah


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

SEJARAH politik Sabah menyaksikan sudah empat kali kerajaan negerinya bertukar. Pertama, semasa era Perikatan, disusuli Berjaya, seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum diakhiri dan diketuai oleh UMNO sehingga hari ini.

Uniknya, kesemua parti pentadbir Kerajaan Negeri Sabah itu pernah menyertai dan kemudiannya keluar atau tersedia kekal menganggotai Barisan Nasional (BN).

Mengulas senario politik Negeri Di Bawah Bayu ini, apa lagi dalam mengupas 'minat mendalam' parti-parti pembangkang dari Semenanjung yang kebelakangan ini kerap 'bertandang' ke negeri itu, orang lama Sabah, Datuk Lajim Ukin, 55, mahu semua pihak melihat isu itu dari kaca mata rakyat Sabah sendiri.

''Rakyat Sabah boleh menukar pemikiran mereka dalam tempoh 24 jam untuk sokong sesebuah parti. Contohnya USNO kalah pada 1975 pun disebabkan ramai ahli USNO masuk parti Berjaya. Dan Berjaya tewas pada 1985 pun disebabkan ahli Berjaya masuk PBS.

''Itulah uniknya rakyat Sabah, kalau nak tukar baju, dia nekad tukar," kata beliau pada pertemuan dengan Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.

Lajim adalah Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan dalam Kabinet Persekutuan, beliau merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, UMNO di Sabah memenangi 100 peratus kerusi yang diperuntukkan termasuk menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Yang tewas, cuma rakan-rakan parti komponen.

Bagi Lajim, dalam tempoh empat kali bertukar kerajaan di Sabah itu, penduduk di pedalaman memang mengimpikan kebajikan mereka dijaga seperti jaminan jalan raya dan bekalan air bersih.

''Alhamdulillah, BN telah buktikan walaupun tidak 100 peratus. Sejak BN mengambil alih bermula 1994 hingga kini iaitu selama 16 tahun, lebih 70 peratus kawasan luar bandar di Sabah telah dibangunkan.

''Bakinya, kini cuma 30 peratus tetapi itu bukan bermakna tidak ada langsung kemudahan asas ini, mungkin di satu-satu kawasan itu elektriknya ada tetapi bekalan air belum benar-benar bersih," katanya.

Dalam memperkatakan hal ini, Lajim mengakui meskipun UMNO boleh dianggap baru bertapak di Sabah, namun kemasukannya ke negeri itu tidak mensia-siakan harapan rakyat. Ini dibuktikan dengan melimpahnya program pembangunan yang dibawa termasuk dari aspek perancangan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Musa memfokuskan pembangunan luar bandar, menghapuskan kemiskinan dan melibatkan rakyat dalam sektor yang boleh membawa potensi terutama pertanian dan pelancongan.

Menyorot pengalamannya semasa menyandang Menteri Pertanian Sabah, kata Lajim, kerajaan negeri ketika itu memperhebatkan pelaksanaan Dasar Pertanian Negeri (DPN) Kedua. Matlamat utamanya adalah untuk mencapai peningkatan sara hidup rakyat iaitu berkaitan pengeluaran beras di Sabah sebanyak 60 peratus. Ini ketara menerusi komitmen kerajaan negeri dan sumbangan Kerajaan Pusat.

''Kerana itu, saya percaya hari ini amat sukar bagi parti-parti pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menangani isu pembangunan di Sabah. Begitupun, tidak dinafikan kemungkinan ada kawasan yang majoriti undinya diperoleh BN dalam pilihan raya umum akan datang berkurangan," nada Lajim perlahan.

Dalam isu ini, Lajim menarik perhatian betapa faktor calon pilihan raya menjadi kriteria penting di Sabah, di samping faktor suasana. ''Misalnya kawasan yang diwakili oleh Parti Maju Sabah (SAPP). Persaingannya bukan mudah kerana ada kalangan wakil rakyat dari parti ini berpengaruh di kalangan pengundi Sabah," katanya.

Ditanya isu-isu yang biasanya dimainkan oleh parti-parti pembangkang di Sabah, Lajim diam sejenak, seraya berkata: ''Antaranya berkisar aspek ketelusan Kerajaan Pusat kepada Sabah. Ya, tentang peruntukan dan jawatan-jawatan sektor awam yang diketuai oleh rakyat Semenanjung.

''Kedua, tentang royalti minyak serta isu pendidikan dan pembangunan luar bandar yang belum dibangunkan. Contoh terdekat adalah penyaluran bekalan elektrik kerana setiap hari berlaku terputus bekalan. Kalau kita tidak tangani, sukar untuk BN raih sokongan."

Dan mahu tidak mahu BN sendiri harus mengakuinya yang mana mereka perlu bekerja lebih keras dalam soal menyempurnakan keperluan asas rakyat ini.

''Contohnya di kawasan Parlimen saya (Beaufort), hampir setiap hari berlaku terputus bekalan sekitar satu hingga dua jam.

''Ini pasti menimbulkan kemarahan rakyat. Selain itu, masalah bekalan air, ada kalanya hampir seminggu terputus bekalan. Tetapi alhamdulillah, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita peroleh peruntukan sebanyak RM30 juta untuk selesaikan isu ini di daerah kecil Manumbok dalam kawasan Parlimen saya.

"Masalah air sudah selesai tetapi timbul pula masalah seperti jalan raya. Kita sudah merdeka 53 tahun (sehingga 2010), tetapi ada kawasan-kawasan di negeri ini, jalan rayanya masih bertanah merah," ujar Lajim.

Pemimpin berpengalaman Sabah ini mengakui isu pembangunan di negerinya berbeza dengan Semenanjung. Di Semenanjung, pembangunan bukannya satu isu kerana BN terbukti amat berjaya dalam soal ini, katanya.

Sebab itu beliau mahu ahli UMNO dan BN menilai kayu pengukur senario politik di Sabah pada tahun ini dan 2011 dengan memastikan tidak ada perpecahan dalam kepimpinan UMNO Sabah. Kalau ada, pasti ia sukar, kata beliau.

''Punca utama tukar 24 jam itu disebabkan bibit-bibit perpecahan yang timbul dalam kepimpinan parti," katanya.

Pada era USNO diterajui Tun Datu Mustapa, beberapa pemimpin kanannya seperti Datuk Haris Salleh, Tun Fuad Stephen dan Datuk Bernard Dompok keluar parti dan menubuhkan parti baru.

''Apabila berpecah, kuasa penentu di Sabah adalah 10 kerusi Cina. Ke mana undi Cina itu pergi, itulah parti yang menang. Ini disebabkan kerusi bumiputera itu berpecah. Bumiputera dahulunya ada 48 kerusi tetapi kini ada 38 kerusi sahaja dan terbahagi pula kepada dua.

''Justeru, jika 10 kerusi tadi menyokong parti baru, itulah parti yang akan menang. Ini disebabkan antara bumiputera Islam dan bukan Islam, kedudukannya lebih kurang sama. Bumiputera Islam ada 54 peratus, bumiputera bukan Islam pula 46 peratus dan Cina sebanyak 20 peratus," kata Lajim.

Lajim mengakui meskipun cabaran UMNO di Sabah agak getir, namun beliau bersyukur kerana isu perkauman 'tidak kuat' di Sabah. Ini disebabkan kesungguhan ikhlas UMNO memberi peluang kepada bumiputera bukan Islam di Sabah.

''Kita berkongsi kuasa di mana UMNO tidak monopoli. Walaupun kita ada majoriti 30 kerusi tetapi kita beri peluang kepada kaum Kadazan dan Cina miliki kerusi," kata beliau.

Terdapat 31 suku kaum di Sabah termasuk Lajim dari etnik Bisaya yang merupakan kumpulan bumiputera keempat terbesar. Namun, etnik Bisaya masih memiliki satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN. Begitu juga dengan suku Murut yang diperuntukkan jumlah kerusi yang sama, di samping suku Bugis juga diberikan kerusi. Semua suku ada tempat dalam UMNO.

Atas sebab itu, Lajim mengingatkan jangan ada perpecahan dalam kepimpinan UMNO Sabah. Kata beliau: ''Kalau ada, pasti ia sukar sebab sekarang kita ada parti Cina seperti SAPP. Saya tahu sejarah Datuk Yong Teck Lee (Presiden SAPP).

''Orang Melayu suka beliau. Hanya dia sahaja satu-satunya Ketua Menteri yang membina 500 buah rumah untuk orang Melayu di kawasan Melayu dan ia diberikan secara percuma. Kawasan Likas, tempatnya didiami 60 peratus orang Melayu."

Mengulas minat mendalam dan kekerapan pemimpin parti-parti pembangkang 'bertandang di Sabah, Lajim ada jawapannya.

''Mereka di Sabah tidak berkesan kerana tidak ada kepimpinan. Seperti sekarang, PKR lantik Tamrin Ghafar untuk mengetuai cabaran mereka, nampaknya dia tidak ada pengaruh. Bertanding beberapa kali tetapi tidak menang. Cuma jika mereka ada kepimpinan PKR dari anak Sabah dan dia kemudian agresif, maka itu kita jangan pandang mudah.

Lajim menolak tanggapan bahawa kononnya UMNO Sabah 'besar kepala' menuntut macam-macam daripada Kerajaan Pusat berikutan sumbangan negeri membantu BN mengekalkan mandat pada pilihan raya umum lepas.

''Secara kebetulan memang kita berhak. Kepentingan Sabah jangan tidak difikirkan. Apa yang penting kita (di Sabah) tidak mengambil kesempatan," kata beliau.

No comments:

Post a Comment