Wednesday, January 20, 2010

Kempen 'Satu Hari Tanpa Beg Plastik'







Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin ketika memotong riben sebagai simbol pelancaran kempen tersebut

KUCHING : Kerajaan tidak akan mengharamkan penggunaan beg plastik sebagai langkah untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar tetapi akan melaksanakan kempen yang diharap dapat mengurangkan penggunaan bahan itu, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin.
Beliau berkata. kerajaan akan menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan peniaga di seluruh negara untuk menganjurkan kempen 'Satu Hari Tanpa Beg Plastik' pada tahun ini.
"Di Semenanjung, Pulau Pinang sudah melaksanakan kempen tersebut manakala di Sarawak ia dilaksanakan di Miri dan Sibu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kempen alam sekitar peringkat negeri Sarawak di sini hari ini.
Lajim berkata, jika kempen tersebut dilaksanakan secara meluas, penggunaan beg plastik yang tidak dapat dikitar semula dapat dikurangkan dan diganti dengan penggunaan beg yang boleh dikitar semula.
"Beg plastik sukar dilupus dan boleh mencemar alam sekitar dalam tempoh panjang, tetapi tak perlu kita kuat kuasa untuk mewajibkan kempen tersebut dilaksanakan, cukuplah di peringkat ini kita menggalakkan penganjuran kempen tersebut," katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Lajim berkata, pertambahan bahan buangan khususnya sisa pepejal setiap tahun menyebabkan keperluan mendesak untuk program kitar semula dijalankan secara intensif.
Beliau berkata, kerajaan pada masa yang sama dapat menjimatkan kos pelupusan serta membuka kawasan baru untuk melupus bahan buangan.
"Wang untuk melupus sisa pepejal dan membuka kawasan baru untuk melupus bahan buangan dapat dijimatkan dan boleh disalurkan untuk program pembangunan lain seperti jalan raya sekiranya rakyat di negara ini mengamalkan program kitar semula," katanya.
Beliau berkata, pada 2002 sebanyak 17,000 tan sisa pepejal dibuang setiap hari dan pada tahun lepas ia bertambah kepada 19,000 tan setiap hari.
Beliau berkata, menjelang 2020 jumlah tersebut akan mencecah 30,000 tan sisa pepejal sehari dan ini perlu dikurang demi kepentingan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment