Saturday, January 9, 2010

PBT Sabah dapat geran bantuan




KOTA KINABALU 9 Jan. - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan menerima bantuan antara RM500,000 hingga RM4.5 juta di bawah program pemberian geran tahunan Kerajaan Persekutuan bermula tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, jumlah yang diberikan itu setelah mengambil kira jumlah penduduk, perbelanjaan mengurus, keunikan dan taraf sesebuah PBT berkenaan.

''Formula ini sudah digunakan sejak 2006 lagi. Harapan kita bantuan ini akan membolehkan PBT bertindak pantas terhadap setiap masalah yang dihadapi penduduk," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian geran tahunan PBT Sabah di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Lajim Ukin dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor.

Pemberian geran tahunan di bawah Akta Pemberian Kepada Negeri (Penyelenggaraan Pihak Berkuasa Tempatan) 1981, sebelum ini hanya terhad untuk PBT di Semenanjung tetapi diperluaskan kepada PBT Sabah dan Sarawak mulai tahun ini.

Cho Ha berkata, sebanyak RM34.56 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk mengagihkan bantuan berkenaan kepada PBT di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengadakan perjumpaan yang lebih kerap dengan PBT bagi memantau dan menambah baik operasi sesebuah PBT berkenaan.

"Pegawai dan kakitangan PBT perlu diterapkan dengan sikap mahu menyegerakan tugas dan mengubah pendekatan perkhidmatan melangkaui kebiasaan," katanya.

Sementara itu, Cho Ha berkata, sehingga 25 Disember tahun lalu, sebanyak 85 peratus atau RM36.5 juta daripada peruntukan RM42.8 juta telah dibelanjakan PBT Sabah bagi melaksanakan projek-projek kecil PBT di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Beliau menambah, PBT Sabah turut cemerlang apabila berjaya melaksana dan menyiapkan semua projek di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua membabitkan 432 projek bernilai RM35.7 juta.

No comments:

Post a Comment