Tuesday, January 26, 2010

Kerajaan Dijangka Urus 30,000 Tan Sisa Makanan Setiap Hari Pada Tahun 2020


SHAH ALAM, 26 Jan (Bernama) -- Belajar kitar semula sisa makanan anda atau kerajaan akan menanggung beban menguruskan 30,000 tan metrik sisa makanan setiap hari menjelang tahun 2020, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin (gambar ) pada Selasa.

Beliau berkata pada masa sekarang kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion untuk menguruskan sisa pepejal di Semenanjung sahaja.

"Saya tidak ada angka terkini tetapi pada tahun 2005 sahaja kerajaan telah menguruskan 7.34 juta tan metrik sisa pepejal iaitu purata lebih 20,000 tan metrik sehari.

"Semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing supaya kita tidak perlu mengurus sisa pepejal yang banyak kerana ia akan membabitkan kos yang sangat tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Bengkel 'Penglibatan Orang Ramai Untuk Meningkatkan Pengurusan sisa Pepejal' di sini.

Beliau berkata secara umum masih ramai rakyat negara ini yang tidak mempunyai kesedaran bahawa sisa makanan boleh dikitar semula untuk dijadikan baja walaupun kempen kitar semula telah dilancarkan dua kali iaitu pada tahun 1993 dan 2000.

Justeru kata beliau, usaha meningkatkan kesedaran itu harus digiatkan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment