Saturday, August 7, 2010
Lajim: Pemimpin parti semua peringkat perlu berubah
PENUH TRADISI..Lajim diiringi oleh Datuk Rubin Balang dan Datuk Raimee Unggi disambut penuh tradisi sejurus tiba ke majlis tersebut
TENOM: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Haji Lajim Haji Ukin menggesa supaya pemimpin parti disemua peringkat berubah dan sentiasa mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, pemimpin pada hari ini tidak lagi boleh duduk selesa dan mendengar masalah rakyat dari jarak jauh.
“Pemimpin perlu turun padang dan mendengar sendiri rintihan dan denyutan hati rakyat bahkan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Tema Bulan Agensi Kerajaan di perkarangan Balai Masyarakat SABAKA Kg. Saga dekat sini kelmarin.
Hadir sama di majlis itu, Ketua Umno Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tenom Suhaili Guriaman, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, Exco Pemuda Umno yang juga Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar, Ketua Puteri Umno Tenom Inahwati Jaini, Naib Presiden PBRS Datuk Kadoh Agundong, Penolong Pegawai Daerah Tenom Clarance Puin Pinduru, Ketua Daerah Tenom OKK David Jani, barisan kepimpinan Umno Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, pemimpin-pemimpin parti komponen dan masyarakat di kawasan ini.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Ahli Parlimen Beaufort berkata, rakyat pada hari ini bukan lagi seperti dulu yang tidak tahu menilai kemampuan pemimpin.
Rakyat pada hari ini katanya, adalah bijaksana dan sudah tahu menilai siapakah pemimpin mereka kerana anak-anak mereka sudah berpendidikan tinggi.
Justeru itu katanya, dampingi dan temuilah rakyat sentiasa untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui masalah mereka.
Dalam masa yang sama Lajim mengingatkan ahli-ahli Umno dan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) keseluruhannya supaya jangan terpengaruh dengan proganda parti pembangkang khusus Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat tuduhan-tuduhan liar dan fitnah kepada pemimpin-pemimpin BN.
Katanya, pemimpin pembangkang boleh cakap apa saja kerana mereka bagaikan mimpi disiang hari.
Malahan katanya, mereka boleh berjanji memberikan bulan dan bintang tetapi apa yang mereka katakan adalah pembohongan kepada rakyat dan tidak mereka boleh tunaikan.
Tetapi katanya, kerajaan BN telah terbukti telah memberi pembangunan kepada rakyat sejak ia berkuasa di negeri ini walaupun pembangkang menidakkan pembangunan yang diberikan oleh kerajaan BN kepada rakyat.
“Kita akui masih terdapat kampung-kampung terpencil di Pedalaman Sabah belum dapat dibangunkan sepenuhnya tetapi kita yakin kampung-kampung berkenaan dapat dibangunkan jika BN terus berkuasa di negeri ini,” katanya.
Menyentuh sedikit mengenai Program Juara Rakyat Lajim berkata, ia adalah memberi peluang kepada rakyat mendapatkan info-info terkini tentang dasar-dasar kerajaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment