Monday, August 2, 2010

KOMUNITI BESTARI BERPERANAN SEBAGAI PENGERAK PEMBANGUNAN MINDA MASYARAKAT





. DIHARGAI...Lajim menerima cendera kenangan dari Pengarah Penerangan Sabah Haji Azizan Haji Din selepas merasmikan program tersebut

BEAUFORT : Peranan Komuniti Bestari bukan sahaja menyalurkan maklumat yang tepat berhubung dengan dasar dan program kerajaan namun dalam masa yang sama ianya perlu memainkan peranan sebagai pengerak pembangunan minda masyarakat

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata Komuniti Bestari perlu bersungguh-sungguh menyiapkan masyarakat untuk berhadapan dengan cabaran lebih besar pada masa akan datang sesuai dengan peredaran zaman.

Menurut beliau, ada sesetengah pihak yang menggunakan kecanggihan teknologi maklumat seperti internet menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kerajaan yang menyebabkan minda masyarakat mudah dibolosi dengan dakyah yang boleh menjejaskan keharmonian dan mencacatkan usaha kerajaan membawa pembangunan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“ Komuniti Bestari juga perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan ilmu pengetahuan komuniti supaya mereka dapat menggunakan maklumat tersebut dengan bijaksana disamping menangkis usaha-usaha pihak lain yang menyebarkan tohmahan dan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat Bestari Peringkat Daerah Beaufort di Perkarangan Tamu Pekan Beaufort dekat sini pagi kemarin.

Hadir sama di majlis tersebut ,Pengarah Penerangan Sabah Haji Azizan Haji Din, Pegawai Daerah Beaufort Wong Foo Tin Pengarah Jabatan Keselamatan Jalanraya Sabah Herdianshah Abdul Karim , Pegawai Penerangan Bahagian Supian Musa ,dan Pegawai Penerangan Daerah Malina Jamarin

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort ,Komuniti Bestari juga merupakan agen perubahan untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian maklumat secara dua hala dalam pembangunan komuniti.

“ Ini dapat dilihat dengan wujudnya saluran komunikasi yang tepat dan jitu, kerajaan dapat menyampai maklumat yang tepat dan pada masa yang sama, menerima maklumat daripada rakyat untuk kepentingan Negara” jelas beliau

Dalam pekembangan yang sama Lajim juga berharap agar pemimpin Komuniti Bestari di negeri ini dapat memberikan penerangan yang jelas mengenai gagasan 1Malaysia kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau Ia bertujuan bagi mengelak timbulnya kekeliruan kerana terdapat pihak tertentu yang cuba menafikan keberkesanan konsep yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan dengan membangkitkan isu Malaysian Malaysia.

Katanya, ada pihak terbabit didapati cuba memainkan isu tersebut untuk menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat negara ini.

“ “Oleh kerana konsep 1Malaysia masih baru, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin atau penggerak Komuniti Bestari untuk menyebarkannya dengan lebih rapi di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau menambah Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri ini amat bersesuaian kerana ia berpaksikan Perlembagaan Negara malah ianya bukan sahaja mampu memperkukuhkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini, malah berupaya membawa kecemerlangan kepada negara-Jaw

No comments:

Post a Comment