Sunday, July 25, 2010
Bomba Pulau Pinang selamatkan RM22 juta harta benda
BUTTERWORTH: Bomba negeri ini berjaya menyelamatkan harta benda bernilai hampir RM22 juta dalam kejadian kebakaran dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia adalah satu kejayaan besar berbanding jumlah kerugian yang dicatat sepanjang tempoh tersebut sebanyak RM400,000.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai itu dan berharap kecemerlangan tersebut diteruskan.
Menurutnya, dengan tambahan sebuah lagi balai bomba baru di Balik Pulau, beliau mengharapkan operasi menyelamat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
"Balai bomba dan penyelamat di Balik Pulau telah diserahkan kepada bomba negeri pada 19 Julai lalu dan kini sedang dalam proses membawa masuk kelengkapan.
"Namun begitu, balai bomba lama masih boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan tersebut,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di sini semalam.
Pada masa ini, Pulau Pinang memiliki 17 balai bomba termasuk sebuah unit udara di Kepala Batas dengan kekuatan 731 pegawai dan anggota.
Lajim memuji pasukan bomba sukarela di negeri ini yang disifatkan begitu aktif membantu bomba sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
"Difahamkan terdapat 21 pasukan bomba sukarela di seluruh negeri dan mereka dibekalkan dengan pakaian kalis api serta jentera pemadam yang lengkap.
"Pihak bomba sentiasa membantu mereka dari segi kelengkapan serta latihan bagi memantapkan lagi operasi," ujarnya.
Pada majlis itu juga, Lajim turut menyampaikan sumbangan kepada Zaharah Abu Bakar iaitu balu Pegawai Bomba, Rosdi Sulaiman yang meninggal dunia baru-baru ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment