Tuesday, July 6, 2010
UMNO PERLU KUAT DALAM SEMUA SEGI
KEKUATAN UMNO tidak seharusnya bergantung kepada kekuatan politik semata-mata sebaliknya ia perlu diimbangi dengan kekuatan dari segi ilmu, kemahiran, berasaskan ekonomi selain perpaduan jitu kalangan ahli-ahlinya, kata Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin.
Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Beaufort, berkata, kesemua elemen tersebut perlu diseimbangkan dengan survival dan kejayaan yang harus terus dijana bagi memastikan idealisme yang dilaksanakan mampu menghasilkan warisan yang lebih baik sebagai legasi generasi akan datang.
“Justeru, kita tidak boleh bersandar kepada nostalgia dan sentimen kerana walaupun jasa menggunung tinggi yang pernah dicurahkan oleh parti, ia bukan jaminan untuk terus mendapat sokongan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya di Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Beaufort ke 17 di Dewan Masyarakat Pak Musa di sini, baru-baru ini.
Persidagan pewakilan yang dihadiri lebih dari 1,000 orang perwakilan dan pemerhati itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jenral Datuk Jamil Khir Baharom. Turut hadir wakil Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Abd.Rahim Ismail dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sipitang Kamarlin Haji Ombi.
Sehubungan itu, Lajim yang juga Pengerusi Barisan Nasional Beaufort, berkata, Umno perlu berani melakukan perubahan sikap dan pemikiran ahli-ahli parti bagi terus menarik sokongan rakyat.
“Sebab itu, perubahan itu tidak sekadar pada slogan sahaja tetapi harus digarap pada amalannya. Perubahan dalam UMNO jangan disorok-sorok tetapi perlu diserlahkan supaya dilihat lebih tulen dan menyakinkan rakyat,” kata Janang Gayuh itu.
Lajim, pemimpin yang memiliki kekuatan sokongan akar umbi yang memberangsangkan berharap UMNO perlu menjadi parti yang lebih terbuka pendekatannya.
"Umno perlu dipilih atas sebab parti ini adalah yang terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, hala tuju atau sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini," tegasnya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Jamil Khir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengibaratkan kekuatan Umno seperti sebuah pasukan bola sepak kerana semua pemain beraksi cemerlang di posisi masing-masing serta perlu memainkan peranan membawa kemenangan kepada pasukan dalam satu-satu pertandingan.
“Setiap pemain mempunyai peranan tersendiri dan seterusnya menghasilkan gol bagi meraih kemenangan,” katanya.
Sambil mengingatkan agar tidak timbul ada pemain yang mengambil posisi pemain lain hanya kerana ingin mencipta nama peribadi bukannya pasukan yang diwakili, Jamil Khir berkata keadaan itu boleh menyebabkan kemenangan sukar dicapai dan boleh menimbulkan perpecahan dalam pasukan yang akhirnya membawa kegagalan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment