Monday, July 12, 2010

PESTA RUMBIA PERLU DIBUAT SECARA BESAR BESARAN







Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin diiringi oleh Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing dan Pegawai Daerah Kuala Penyu selaku Pengerusi Penganjur Pesta Rumbia Edmond Teo menyentuh bebola sebagai simbol perasmian Pesta Rumbia ke 21

BEAUFORT : Kerajaan negeri Sabah bercadang menganjurkan Pesta Rumbia secara besar-besaran bermula tahun depan bagi memperkenalkan pesta tersebut ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, pada masa ini pihaknya sedang melakukan kajian terperinci bagi memeriahkan lagi acara tahunan itu.
"Selain mempelbagaikan aktiviti kita juga akan menggiatkan usaha promosi termasuk melalui Lembaga Pelancongan Sabah.
"Pesta Rumbia secara besar-besaran ini merupakan sebahagian usaha untuk memajukan perniagaan penduduk setempat sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk Kuala Penyu," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Rumbia kali ke-21 di Kuala Penyu di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing; Pegawai Daerah Kuala Penyu, Edmund Teo dan Pengerusi Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Wences Anggang.
Lebih 3,000 pengunjung hadir mengunjungi pesta yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu lalu.
Pesta Rumbia ialah acara memperkenalkan pembuatan makanan, promosi kraf tangan dan permainan di Kuala Penyu, antara kawasan pengeluaran utama rumbia di Sabah.
Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, penganjuran pesta tersebut secara besar-besaran adalah penting dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di daerah itu.
Katanya, ia juga perlu bagi memperkenalkan daerah itu sebagai sebuah destinasi pelancongan menarik yang terdapat di negeri ini.
"Penduduk juga berpeluang mempromosikan hasil produk tempatan menerusi pesta itu khususnya produk berasaskan rumbia yang merupakan hasil pertanian sinonim dengan daerah ini.
"Jadi saya menyeru semua penduduk daerah ini mengambil kesempatan daripada acara pelancongan seperti pesta ini untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya.
Sementara itu, katanya, pada masa ini pihaknya turut meneliti acara sukan bertaraf antarabangsa yang boleh dianjurkan di daerah tersebut pada masa akan datang.
"Saya melihat acara sukan laut amat sesuai diadakan di Kuala Penyu di sini yang terletak di persisiran laut yang amat cantik dan menarik," ujarnya.

No comments:

Post a Comment