Monday, July 12, 2010

Pemimpin dan ahli Umno perlu bersatu,







Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin diiringi oleh Ketua Umno bahagian Keningau Datuk Haji Sairin Karno bersalaman dengan ahli jawatankuasa Umno bahagian Keningau sejurus tiba untuk merasmikan persidangan tersebut

KENINGAU: Pemimpin dan ahli Umno di peringkat bahagian perlu bersatu dan elakkan percakaran sesama sendiri bagi meneruskan perjuangan parti itu sebagai tunjang Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia, Datuk Lajim Haji Ukin, berkata percakaran sesama sendiri dalam parti boleh menghancur dan melemahkan perjuangan Umno dan BN.
Justeru itu katanya, elakkan percakaran yang boleh memecahbelahkan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno keseluruhannya.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia berkata, rentetan sejarah politik Sabah di masa yang lalu telah membuktikan kerajaan-kerajaan yang terdahulu seperti Usno, Berjaya kehilangan kuasa disebabkan perpecahan pemimpin dan ahli-ahlinya.
“Tidak mustahil bagi BN yang ditunjangi oleh Umno akan menerima nasib yang sama jika pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli tidak bersatu padu meneruskan perjuangan Umno,” kata semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Keningau di Dewan Masyarakat di sini, kelmarin.
Beliau turut menyatakan kekalahan BN di beberapa buah negeri di Semenanjung juga ada kaitannya dengan percakaran dan perpecahan di kalangan ahli-ahli Umno dan BN itu sendiri.
Sebenarnya kata Lajim, Pakatan Rakyat (PR) yang menang di negeri-negeri berkenaan bukanlah kuat tetapi disebabkan berlakunya perpecahan dan sabotaj maka pembangkang mendapat kemenangan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, masa ini adalah masa untuk bersatu dan untuk menarik perhatian ahli-ahli Umno agar benar-benar yakin dengan perjuangan Umno dan BN yang mereka harap-harapkan untuk membela nasib mereka yang masih memerlukan pembelaan.
Katanya, Program Juara Rakyat yang dilaung-laungkan pada ketika ini tidak akan bermakna jika pemimpin-pemimpin tidak dapat menyelami dan mendengar denyutan hati rakyat terutama di kawasan Pedalaman yang masih memerlukan pembangunan dalam pelbagai aspek.
Beliau berkata, pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian perlu menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang ingin supaya pemimpin-pemimpin turun padang dan berani berubah.
Katanya, pemimpin perlu berubah dan mengubah nasib rakyat sebelum rakyat atau ahli mengubah pemimpin dan kerajaan.
Lajim menegaskan bahawa sejarah politik di Sabah telah terbukti di mana kerajaan-kerajaan lalu jatuh apabila dihukum oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan pencapaian pemimpin.
Tambahnya, jika BN kehilangan kuasa, ramai pemimpin-pemimpin politik yang memegang jawatan lantikan politik seperti Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan sebagainya turut kehilangan jawatan.
Oleh itu katanya, sebelum rakyat menghukum pemimpin dan kerajaan, pemimpin perlu bertindak menyelasaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan-kawasan terpencil.
Dalam masa yang sama Lajim mengingatkan ahli-ahli Umno supaya menggunakan saluran yang betul jika menegur ketua mereka.
“Jangan gunakan media dan kemudahan elektronik yang lain seperti internet dan facebook untuk menegur mahupun mengkritik pemimpin kerana tindakan sedemikian memberi ruang kepada pembangkang untuk memperbesar-besarkan isu berkenaan” jelas Lajim.
Katanya, gunakan mesyuarat untuk menegur jika terdapat kesilapan pemimpin supaya ia dapat diselesaikan secara keluarga.
Berucap sama di majlis itu, Ketua Umno Bahagian Keningau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Dewan Undangan Ngeeri (Adun) Liawan, Datuk Haji Sairin Haji Karno dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Keningau, Haji Jasni Rahman.
Hadir sama Adun Bingkor, Justin Guka; Ketua Wanita Umno Keningau, Amelia Ajun; Ketua Pemuda Umno Keningau yang juga Ketua Pemudan Umno Sabah, Azman Haji Ruslan dan Ketua Puteri Umno Keningau, Junaidah Haji Sapli; Ketua Daerah Keningau, OKK Amir Datuk Arif dan OKK Majabin Dalinus serta pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan ini.

No comments:

Post a Comment