Thursday, July 8, 2010

30,000 Tan Buangan Sisa Pepejal Menjelang 2020


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat Khamis diberitahu bahawa sisa pepejal yang dihasilkan penduduk Malaysia akan meningkat dari tahun ke tahun dengan jangkaan mencecah 30,000 tan sehari menjelang tahun 2020.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan menyatakan bahawa kadar kitar semula rakyat Malaysia adalah lima peratus setahun.

Manakala Pelan Strategik Kebangsaan Mengenai Sisa Pepejal (2005) pula memaklumkan kadar kenaikan tahunan kitar semula penduduk Malaysia dianggarkan satu peratus setahun.

"Ini menjadikan jangkaan kadar kitar semula penduduk Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 22 peratus," katanya menjawab soalan Datuk Rashid Din (PKR-Merbok).

Lajim berkata sehubungan itu kerajaan berpendapat program 3R iaitu mengurang, mengguna semula dan mengitar semula menjadi strategi utama bagi menangani jumlah sisa pepejal yang semakin bertambah di negara ini.

"Kementerian akan terus komited untuk meneruskan program ini dengan menyediakan peruntukan tahunan bagi perolehan tong-tong kitar semula, mengadakan kempen-kempen kesedaran dan pembinaan pusat-pusat kitar semula di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat," katanya.

Beliau berkata jumlah perbelanjaan bagi menyediakan kemudahan dan promosi program 3R adalah RM3.4 juta pada tahun 2006, RM3.3 juta (2007) dan RM1.5 juta pada tahun 2008.

No comments:

Post a Comment