Thursday, November 19, 2009

Kerajaan Aggresif Promosikan Teknologi Hijau Untuk Pelihara Alam Sekitar



Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ...kerajaan akan terus mempromosikan secara aggresif penggunaan amalan teknologi hijau

KUALA LUMPUR, Kerajaan akan terus mempromosikan secara aggresif penggunaan amalan dan teknologi hijau seperti kaedah pengkomposan sisa pepejal dan kitar semula untuk memelihara alam sekitar.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin berkata ini kerana kaedah itu mampu mengurangkan sehingga 90 peratus jumlah sisa pepejal yang dihasilkan di dalam negara.

"Namun tanpa sokongan rakyat semua program ini tidak akan berjaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar "Teknologi Hijau Dalam Pengurusan Sisa: Pengetahuan dan Praktis Terkini" anjuran Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia di sini pada Rabu.

Ketika ini, lebih 19,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap oleh rakyat negara ini dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 30,000 tan sehari pada tahun 2020.

Beliau berkata penggunaan amalan dan teknologi hijau juga akan meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal kepada 10 kali ganda daripada jangka hayat asalnya dan dapat meminimakan masalah kekurangan tapak pelupusan sampah.

Lajim berkata 114 daripada 290 tapak pelupusan sisa pepejal di seluruh negara kini telah tamat tempoh hayatnya.

Beliau berkata untuk itu kerajaan dengan kerjasama pihak swasta akan terus menjalankan program kesedaran, seminar dan iklan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai "amalan hijau" seperti kitar semula dan menjimatkan penggunaan tenaga di pejabat dan rumah.

Ditanya mengenai kemajuan kempen kitar semula, Lajim berkata kerajaan masih optimis untuk mencapai sasaran 22 peratus kitar semula menjelang 2020 walaupun kadar kitar semula sekarang hanya sekitar lima peratus.

Seramai 13 pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara terlibat dalam seminar dua hari itu bagi membincangkan kaedah terkini teknologi hijau dalam menguruskan sisa pepejal secara efektif.

No comments:

Post a Comment