Thursday, December 10, 2009

Cadangan Jadikan PBT Perkhidmatan Awam Diperhalusi


KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang meneliti cadangan untuk menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai perkhidmatan terbuka dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatannya, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Seri Lajim Ukin berkata ia bertujuan mewujudkan jawatan perkhidmatan terbuka bagi membolehkan kakitangan PBT ditukar.

"Perkara ini akan dilakukan melalui pindaan kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan ini selaras dengan program transformasi yang dilaksanakan kementerian melalui NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu.

Lajim berkata hasil kajian itu akan dibentangkan seawal-awalnya tahun depan.

Menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai bidang kuasa kementerian tehadap PBT, beliau berkata pada ketika ini, kementerian hanya boleh membantu dan memberikan nasihat sebelum PBT meluluskan sesuatu projek pembangunan di sesebuah negeri.

"Kalau kita lihat, setiap PBT ada mempunyai enakmen sendiri, jadi kuasa itu ada pada mereka untuk melakukan sesuatu," katanya.

Mengenai konsep bina-kemudian-jual (BTS) yang diperkenalkan pada tahun 2006, Lajim berkata ia kurang mendapat sambutan dan setakat ini, hanya sebuah syarikat pemaju bersetuju melaksanakannya.

Katanya antara sebab pemaju enggan melaksanakan konsep itu ialah masalah kewangan kerana kesukaran mendapatkan pinjaman bank bagi membiayai projek perumahan.

Menurut Lajim, kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah menambahbaik konsep BTS itu termasuk menyediakan dana khusus bagi membantu pemaju membina rumah terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment