Friday, April 30, 2010
PEGAWAI ASKAR WATANIAH TIDAK AKTIF BAKAL BERHADAPAN DENGAN TINDAKAN
TAHNIAH…Lajim yang turut dibantu oleh Dr.Kamarazaman(belakang ) ketika menyemat pangkat Mejar kepada Pendaftar Universiti Malaysia Sabah, Abdullah Mohd. Said pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rejimen 507 Askar Wataniah tersebut
KOTA KINABALU :Pegawai askar wataniah yang telah dilantik menerajui pasukan sukarela tetapi tidak aktif dalam aktivitinya bakal berdepan tindakan ditarik balik jawatan.
Penaung Pendukung Askar wataniah Sabah, Konel. Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, setiap pegawai perlu menunjukkan komitmen kerana ia akan membantu meningkatkan moral anggota bawahan.
"Saya tidak berpuas hati kerana ramai yang telah ditauliahkan tidak pernah datang ke ibu pejabat atau menghadiri sebarang acara atau aktiviti yang dianjurkan askar wataniah.
"Mungkin mereka sibuk dengan tugasan masing-masing namun ia tidak boleh dijadikan alasan. Semua orang pun sibuk dan saya juga sibuk, tetapi berusaha untuk datang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rejimen 507 Askar Wataniah Kota Kinabalu di sini kemarin
Hadir sama Panglima Rejimen 505 Askar Wataniah, Brigadier Jeneral Prof. Datuk Dr. Kamarazaman Ampon.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pemantauan akan dilakukan bagi mengenal pasti pegawai yang tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan.
"Jika jawatan itu telah diberikan, seharusnya mereka mengetahui tugas mereka sebagai pegawai askar wataniah.
“ Namun jika tidak menjalankan tugas yang diamanahkan, kita perlu kaji semula mereka yang tidak aktif dan jika ia berlaku, jawatan yang telah diberikan akan ditarik balik," katanya.
Sementara itu Lajim berkata, golongan remaja perlu digalakkan menyertai pasukan sukarela itu kerana ia mampu membantu mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat.
Katanya, hanya 4,000 sukarelawan menyertai askar wataniah Sabah dan jumlah itu perlu dipertingkatkan lagi bagi memperkasakan pasukan berkenaan.
"Kerajaan telah menambah elaun kepada anggota askar wataniah dan seharusnya ia menjadi pendorong menyertai pasukan sukarela ini," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment