Thursday, April 1, 2010

Pelantikan Peneraju PBT Bukan Berdasarkan Jantina



Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin tidak timbul soal jantina dalam perlantikan PBT

KUALA LUMPUR: Isu jantina tidak timbul dalam pelantikan Yang Dipertua dan anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana faktor yang diambil kira adalah kebolehan dan kemahiran individu tersebut, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin.

Beliau berkata kerajaan negeri boleh melantik sesiapa sahaja yang difikirkan layak berdasarkan kriteria yang diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Kriteria itu ialah bermastautin dalam kawasan PBT berkenaan, pengamalan luas dalam hal ehwal kerajaan tempatan, memperoleh kejayaan dalam sesuatu profesion, perdagangan dan perindustrian serta mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan kaum dalam satu pengawasan PBT.

"Oleh demikian, isu jantina tidak timbul," katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang bangun mencelah penggulungan Lajim itu mahu supaya kerajaan Barisan Nasional mengamalkan kesaksamaan gender dengan melantik lebih ramai Yang Dipertua PBT daripada kalangan wanita seperti yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Lajim berkata terdapat peningkatan anggota majlis daerah dari kalangan wanita iaitu 12.2 peratus pada tahun 2008 berbanding 10.4 peratus pada 2004, menunjukkan bahawa kerajaan pusat tidak pernah mengamalkan diskriminasi gender dan sentiasa mengiktiraf wanita termasuklah di peringkat pembuat keputusan.

Beliau berkata 404 orang atau 12.6 peratus daripada 3,215 anggota majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara pada tahun 2007 terdiri wanita.

Majlis yang diterajui oleh wanita ialah Majlis Daerah Kota Marudu, Majlis Perbandaran Sungai Petani dan Majlis Daerah Kubang Pasu. Empat PBT yang mempunyai setiausaha wanita pula ialah Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Perbandaran Hang Tuah, Majlis Daerah Lubok Antu dan Majlis Daerah Simunjan.

Lajim berkata kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk melantik Yang Dipertua dan anggota majlis PBT kerana kuasa tersebut terletak pada kerajaan negeri.

"Yang melantik bukan kerajaan persekutuan, jadi kenapa disalahkan kepada kerajaan persekutuan," katanya.

Lajim juga mengulangi pendirian kerajaan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak perlu diadakan kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti PBT selaku agensi barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya terdapat juga kemungkinan wujud unsur-unsur kurang sihat oleh pihak-pihak tertentu yang meletakkan kepentingan politik masing-masing.

"Pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah faktor yang menentukan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan PBT tetapi ditentukan oleh beberapa faktor seperti kepimpinan yang dinamik, tenaga kerja yang mahir dan terlatih, proses dan prosedur kerja yang cepat dan mudah, perancangan bandar yang mapan, keseragaman undang-undang dan peraturan, pengurusan sumber kewangan dan pelaksanaan projek pembangunan yang cekap," katanya.

Lajim berkata bahawa semasa pilihan raya peringkat kerajaan tempatan pertama kali diperkenalkan di Tanah Melayu oleh kerajaan British pada tahun 1857, sambutan yang diberikan tidak begitu menggalakkan kerana tidak ramai yang dapat memenuhi syarat-syarat kelayakan.

"Pergolakan politik Tanah Melayu khususnya selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, British berpandangan bahawa kemasukan pendatang yang semakin meningkat pada tahun itu menyebabkan proses pilihan raya kerajaan tempatan tidak sesuai diadakan," katanya.

Selain itu, Lajim berkata, untuk menganjurkan pilihan raya kerajaan tempatan juga akan melibatkan kos yang hampir sama dengan satu pilihan raya umum.

No comments:

Post a Comment