Wednesday, February 3, 2010

Gabungan muka lama, baru anggotai Majlis Tertinggi PBBS






BEAUFORT Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Beaufort, Saridah Mohd. Dun menepati ramalan apabila menang jawatan Naib Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-19 persatuan itu di sini hari ini.

Turut memenangi jawatan Naib Presiden itu ialah Roslan Muharam, Edris Ali dan penyandang jawatan itu sebelum ini, Tarawi Rukut.

Saridah yang ditemui selepas pemilihan itu berjanji tidak akan mensia-siakan amanah yang telah diberikan perwakilan kepadanya.

"Apatah lagi selepas mendapat undi paling tinggi 284 undi. Ini bermakna mereka menaruh harapan besar kepada saya," katanya.

Beliau menambah, selain itu, tumpuan juga akan diberikan bagi membantu menjayakan agenda yang telah digariskan Presiden PBBS, Datuk Lajim Ukin untuk membawa persatuan itu ke tahap lebih tinggi.

Pada pemilihan tahun ini, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dan kekal disandang Lajim dan Kamarlin Ombi.

Bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, antara muka lama yang berjaya mengekalkan jawatan itu ialah Jaludin Kadir, Matbali Musah, Ibrahim Salim, Rahim Yusuf dan Jamaluddin Musneh.

Muka baru yang berjaya merebut tempat menduduki barisan Majlis Tertinggi PBBS ialah Roslan Jifneh, Jislim Latip dan Matjun @ Yunus Matahon.

Turut mencipta kejayaan dalam pemilihan kali ini seorang pendidik dari Kampung Lawa Gadong, Md. Said Awang Damit.

Lajim ketika ditemui berharap gabungan muka lama dan baru yang menganggotai Majlis Tertinggi PBBS dapat mengerakkan sepenuhnya usaha menarik golongan muda menyertai persatuan itu.

Katanya, penyertaan golongan muda termasuk golongan profesional daripada kaum Bisaya amat penting bagi memastikan kelangsungan persatuan itu dalam membela nasib kaum berkenaan di negeri ini.

Sehubungan itu, ujarnya, PBBS akan mewujudkan sayap pemuda sebagai platform menarik lebih ramai golongan muda menyertai persatuan tersebut.

No comments:

Post a Comment