Thursday, February 4, 2010
Kontraktor 'main wayang'
LAWATAN MENGEJUT...Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Haji Ukin ketika mengadakan lawatan mengejut ke projek PPR Kianso Inanam
KOTA KINABALU 3 Feb. - Sebelum ini mereka boleh 'main wayang' dengan membawa pekerja dari tapak pembinaan lain apabila mengetahui Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chong Ko Ha melawat tapak projek bermasalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kiansom, bulan lalu.
Bagaimanapun, hari ini, semua terbongkar apabila dalam lawatan mengejut Timbalannya, Datuk Lajim Ukin (gambar) mendapati bukan sahaja tiada kerja-kerja dilakukan tetapi keadaan projek kekal seperti lima bulan lalu.
''Yang pasti mereka sudah terlewat dari jadual asal, sedangkan dalam kelulusan kementerian, kita telah meminta kontraktor memulakan kerja pada 26 Ogos 2009.
''Apa yang kita lihat hari ini ialah kontraktor membuat kerja semasa menteri datang. Itupun mereka mengambil 80 pekerja dari kawasan lain dan selepas dua hari pekerja tersebut balik. Dia pun main wayang," katanya kepada pemberita di sini.
Lajim berkata, dalam taklimatnya, kontraktor terbabit memberi alasan mereka perlu menyiapkan laporan kerosakan sebelum kerja dapat dimulakan.
''Tetapi sampai bila (kerja mengenal pasti akan disiapkan). Saya harap mereka bersikap profesional," katanya
Sehubungan itu beliau menegaskan akan memantau sendiri kemajuan projek tersebut dan projek PPR lain di Sabah setiap bulan bagi memastikan ia siap mengikut jadual demi kepentingan rakyat berpendapatan rendah.
Menurutnya, berdasarkan pencapaian, tahap kemajuan sekarang hanya sekitar 1.2 peratus sedangkan kementerian menjangkakan kontraktor penyelamat ini mencapai tahap kemajuan lebih enam peratus.
Mengenai tindakan seterusnya, Lajim berkata, kontraktor berkenaan memberi jaminan mampu menyiapkan projek tersebut dalam tempoh baki 18 bulan yang ada.
PPR Kionsom membabitkan pembinaan 1,000 rumah tiga bilik dimulakan pada 28 Julai 2003 itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Januari 2006.
Selepas terbengkalai lebih tiga tahun, kementerian melantik kontraktor baru pada Ogos tahun lalu bagi menyiapkan baki 50 peratus projek berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai kemajuan projek PPR Bukit Padang yang terbengkalai hampir enam tahun, Lajim berkata, kementerian memberi tempoh dua bulan kepada syarikat pemaju untuk menyambung semula kerja-kerja membina 775 unit rumah kos rendah.
Beliau menambah, sekiranya kontraktor asal itu gagal berbuat demikian kementerian mungkin menamatkan kontrak mereka dan melantik kontraktor baru.
"Rumah murah ini akan digunakan untuk menempatkan penghuni rumah setinggan Bukit Padang yang perlu keluar dari kawasan itu bagi membolehkan pembinaan asrama jururawat Kementerian Kesihatan," katanya.
Lajim berkata empat lagi projek PPR di Sabah yang tidak dapat disiapkan mengikut jadual adalah masing-masing di Kunak, Keningau, Kinarut dan Kudat berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment