Tuesday, March 9, 2010

UNDANG UNDANG SERAGAM BANGUNAN BAKAL DIKUATKUASAKAN





LANCAR Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin turut melancarkan bekalan air graviti sempena program Juara Rakyat Tersebut

MENUMBOK :Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang menguatkuasakan `Undang-Undang Seragam Bangunan' bagi projek baharu yang bakal dilaksana di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, cadangan itu dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Kerajaan Tempatan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Menurut beliau , langkah itu penting bagi mewajibkan pihak pemaju menyediakan kemudahan jalur lebar dalam setiap bangunan yang dibina, sepertimana bekalan air dan elektrik pada masa ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Umno Juara Rakyat dan Dialog bersama Jabatan serta Agensi Kerajaan bersama Rakyat di perkarangan surau Kampung Jagus, Menumbok dekat sini pagi kemarin

Hadir Sama Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing ,Timbalan Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Abd.Rahim Yakub,Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok Awang Damit Abd.Razak Timbalan Ketua Umno Bahagian Isnin Haji Aliasnih,Pengerusi Program Umno Juara Rakyat yang juga Ketua Penerangan Umno Bahagian Haji Samin Haji Ongki serta Ketua-Ketua Jabatan kerajaan.

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort penguatkuasaan Undang-Undang Seragam Bangunan juga merupakan antara usaha kerajaan memastikan sasaran 50-peratus pencapaian jalur lebar dalam kalangan rakyat menjelang hujung tahun ini, tercapai.

Katanya, penduduk negeri ini khususnya di luar bandar masih jauh ketinggalan daripada sasaran tersebut kerana kemudahan jalur lebar sukar diperoleh di kawasan terbabit.

Menurut beliau, masyarakat luar bandar wajar diberi peluang melayari laman sosial `Facebook' yang begitu popular masa kini untuk berkomunikasi secara terus dengan Perdana Menteri.

Katanya, peluang menyampaikan pandangan secara terus kepada Perdana Menteri melalui `Facebook' membolehkan rakyat berasa dihargai.

Di majlis tersebut Lajim turut mempengerusikan sesi dialog antara penduduk kampong bersama jabatan-jabatan kerajaan yang mendapat penyertaan yang menggalakkan dari penduduk kampong setempat terutamanya dalam mengutarakan aspek keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

No comments:

Post a Comment