Thursday, May 21, 2009

98 Kobera Didaftar Setakat April




















KOTA KINABALU, 21 Mei (Bernama) -- Sebanyak 98 Koperasi Bela Rakyat (Kobera) telah didaftarkan setakat April lepas dan 160 lagi sedang dalam proses penubuhan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada 60 kawasan Dewan Undangan Negeri di Sabah pula, 12 Kobera telahpun didaftarkan dan 12 lagi dalam proses penubuhan.

"Sasaran kita ialah menjelang 2013, semua 576 DUN di negara ini akan mewujudkan Kobera masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kobera peringkat negeri di sini hari ini.

Pada Julai lepas, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Kobera diwujudkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan memperbaiki hidup mereka melalui koperasi.

Wakil rakyat setiap DUN akan menjadi penasihat Kobera dan menentukan aktiviti-aktiviti ekonomi yang akan dijalankan mengikut potensi di setiap kawasan.

"Kobera memerlukan sokongan daripada koperasi-koperasi yang sudah berjaya. Koperasi-koperasi besar yang sedia ada ini boleh menjadi payung kepada Kobera di mana mereka boleh mengadakan perjanjian untuk membeli produk dari Kobera," katanya.

No comments:

Post a Comment