KOTA KINABALU : Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) diminta mengutamakan program dakwah yang dapat memberi manfaat serta kesan berterusan kepada masyarakat dalam usaha mengamalkan perbelanjaan berhemah.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Lajim Ukin berkata, langkah itu perlu dalam memastikan kesinambungan program dakwah meskipun negara berhadapan dengan krisis ekonomi global.
"Bermula kenaikan petrol pada Jun lalu diikuti kenaikan mendadak harga barang telah menjadi cabaran kepada kerajaan, rakyat dan tidak terkecuali badan sukarela untuk mengatur dan melaksanakan program yang dirancang.
"Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, selain bijak berbelanja, pelaksanaan program-program dakwah perlu diatur dan dilaksanakan secara berhemah dengan menitikberatkan dua aspek iaitu keperluan kewangan dan keberkesanannya kepada masyarakat Islam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan USIA di sini hari ini.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung USIA, Datuk Abdullah Hussin; Bendahari Agung USIA, Ariffin Sani dan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Syed Abbas Syed Ali.
Menurut Lajim, semua pihak sama ada pekerja bawahan dan atasan haruslah memainkan peranan masing- masing dalam usaha meminimumkan kesan kegawatan ekonomi.
"Semua pihak perlu mengambil peranan dengan meningkatkan kecekapan agensi pelaksana dan pengurusan yang berperanan menguruskan hal berkaitan kewangan," katanya.
Sementara itu, katanya, USIA juga harus meningkatkan usaha mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan melibatkan diri secara lebih serius dalam sektor pertanian, perladangan dan hartanah.
No comments:
Post a Comment