Friday, May 22, 2009

RM60 juta kos binaJambatan Sungai Sitompok














Lajim bersalaman dengan ahli-ahli UMNO dari kawasan DUN Kuala Penyu sejurus tiba ke majlis tersebut

KUALA PENYU 21 Mei - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM60 juta untuk membina Jambatan Sungai Sitompok yang menghubungkan pekan Kuala Penyu dengan kawasan sekitar.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, pelan dan reka bentuk jambatan itu kini dalam proses akhir dan pembinaan akan bermula hujung tahun ini.

Beliau percaya, dengan terbina jambatan itu, penduduk Kuala Penyu akan memilih laluan darat untuk ke mana-mana berbanding sebelum ini yang menggunakan laluan laut dengan perkhidmatan feri.

"Jambatan ini juga akan dapat mengatasi masalah kesesakan yang berlaku di Jeti Kuala Penyu kerana perkhidmatan feri masih menjadi pengangkutan utama penduduk Kuala Penyu.

"Buat sementara ini, penduduk perlu bersabar dan Kerajaan Pusat dan negeri akan berusaha mempercepatkan pelaksanaan pembinaan jambatan tersebut dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Kuala Penyu 2009 di Dewan Datuk Shah Bandar Makang di sini hari ini.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, apabila jambatan itu siap nanti, kemudahan tersebut akan menjadi satu mercu tanda baru di pekan berkenaan.

Selain itu, kata beliau, penduduk setempat juga akan lebih selesa dan cepat untuk menjalani aktiviti harian.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata, kerajaan merancang untuk menaik taraf Dewan Dato' Shah Bandar Makang bagi kegunaan dan keselesaan masyarakat daerah ini.

Menurutnya, dewan sedia ada sudah agak uzur dan memerlukan bangunan baru yang lebih besar dan kukuh berikutan banyak aktiviti dilakukan di situ.

No comments:

Post a Comment