Thursday, May 21, 2009

Perbezaan Harga Barangan Di Semenanjung Dan Sabah Dikaji

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang membuat kajian serta mencari jalan penyelesaian berhubung perbezaan harga barangan antara Semenanjung dan Sabah, melalui perbincangan dengan kementerian lain yang berkaitan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kos pengangkutan merupakan antara punca masalah itu dan beliau telah pun mengarahkan pegawai di kementeriannya supaya mengkaji perbezaan harga barangan di Sabah berbanding di Semenanjung.

"Kita akan menyenaraikan barang-barang dan kaji punca, buat cadangan ke kementerian berkenaan dan bawa untuk dibincang di Kabinet. Lepas itu lihat respons dari kementerian lain," katanya apabila ditanya sama ada perbincangan ada dibuat antara kementeriannya dan Kementerian Pengangkutan.

Ismail Sabri ditemui pemberita selepas merasmikan Koperasi Bela Rakyat peringkat Sabah di sini, Khamis.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan memperluaskan senarai barang bagi tujuan penyelarasan harga supaya tidak tertakluk kepada barangan kawalan sahaja.

Katanya daerah Tongod, Sandakan adalah kawasan pertama yang akan mendapat manfaat daripada senarai barangan yang diperluaskan itu apabila ia dilancarkan secara rasmi esok.

Beliau berkata projek di Tongod itu merupakan kesinambungan kepada projek perintis pengedaran barangan bersubsidi di Sipitang awal tahun ini, yang bertujuan membantu penduduk luar bandar yang menghadapi kesulitan menerima barang keperluan dalam harga yang disubsidi.

"Ia berbeza kerana dulu kita fokus kepada barangan kawalan iaitu gula, tepung, roti putih, beras hancur 15 peratus dan juga minyak masak sawit. Apa yang kita buat sekarang ialah lebih daripada itu.

"Ini kerana apa yang dibuat oleh kerajaan tak dirasai kalau setakat lima barang. Jadi kami ambil kira untuk perluaskan kepada makanan-makanan lain yang bukan bersubsidi," katanya.

Projek ini antara usaha kementerian untuk mencapai misinya iaitu menyeragamkan harga di bandar dan kawasan pendalaman, dan seterusnya harga antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

No comments:

Post a Comment