Tuesday, March 15, 2011

PEMIMPIN DAN ANGGOTA PARTI DIMINTA MANTAPKAN PERJUANGAN






MENJANA KEKUATAN PARTI…Lajim bersalaman dengan sebahagaian dari para peserta yang menyertai kursus tersebut

TUARAN : Bagi mempestikan parti terus utuh sebagai parti utama orang Melayu/Bumiputera UMNO perlu melihat jauh ke depan. rintangan dan cabaran yang menanti tidak lagi sama sifatnya dengan apa yang pernah didepani oleh UMNO sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, bagaimana proses transformasi politik parti perdana itu dapat difahami, ianya banyak bergantung kepada peranan pemimpin parti di semua peringkat terutamanya generasi muda kerana golongan inilah yang membentuk, seterusnya menentukan apakah pengisian sewajarnya untuk parti ini terus sesuai dan relevan.

Menurut Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,langkah pertama dimula dengan Umno mengambil inisiatif untuk berubah, dan pastinya langkah ini penting kerana Umno parti teras dalam BN.

“ Perubahan ini bukan sahaja perlu berlaku di peringkat tertinggi parti, malah pemimpin di pelbagai peringkat termasuklah ahli perlu melakukan tranformasi agar perubahan yang dibawa lebih menyeluruh, relevan dan member kesan kepada ahli dan rakyat untuk terus menyokong perjuangan parti” katanya ketika berucap menutup kursus Pemantapan Organisasi di Pusat Latihan Rela Tuaran petang kemarin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd.Dun, Ketua Pengarah Unit Pemimpinan Kemajuan Rakyat Datuk Aliasgar Basri, Timbalan ketua Umno bahagian Beaufort Isnin haji Aliasnih dan Pengerusi Penyelaras kursus Kudien Bulungan.

Menurut Lajim pilihanraya umum ke 12 pada tahun 2008 sepatutnya banyak memberikan pengajaran kepada pemimpin parti Umno dan BN betapa sikap ambil lewa dan terlalu optimistik serta mengabaikan pengundi muda telah membawa kemerosotan sokongan kepada BN

Tambah Lajim lagi landskap politik negara akan berubah dengan kehadiran generasi muda sebagai pengundi baru.

Katanya, dianggarkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, kira-kira 7.5 juta pengundi muda akan menyatakan suara mereka. Ia merupakan pertambahan kira-kira dua juta berbanding pilihan raya lepas dan ia terlalu besar untuk dipandang mudah.

Justeru, tempoh bagi menghadapi PRU-13 akan datang adalah waktu yang sangat genting bagi semua pemimpin parti khususnya Pergerakan Pemuda sebagai pintu gerbang kepada generasi muda.

“Sesiapa pun yang bakal terpilih untuk berada di barisan hadapan sayap parti UMNO ini tidak boleh dibuai rasa seronok atau bangga dengan kepercayaan yang diberikan”

“Sebaliknya usaha perlu digerakkan bermula dari sekarang bagi mencari mekanisme terbaik mengajak generasi muda bersama-sama menyertai perjuangan UMNO” katanya

Dalam pada itu menurut Lajim UMNO perlu akur kepada kuasa media baru terutamanya Internet yang menjadi antara salah satu punca prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

Sehubungan dengan itu katanya,ahli-ahli Pemuda sebagai generasi moden seharusnya lebih peka dengan perkembangan teknologi maklumat dan berupaya menangkis fitnah dan tuduhan pembangkang menerusi medium yang sama.

"Justeru, Pemuda yang sangat dekat dengan generasi baru ini perlu memainkan peranan lebih agresif sebagai penyebar aspirasi UMNO tidak hanya secara formal, malah menerusi apa jua medium sebaran," katanya.

Seperkara yang turut ditekan Lajim semasa berucap di majlis ini akan pentingnya ahli-ahli parti mengamalkan budaya kerja berpasukan dimana ianya merupakan nadi kekuatan kepada parti untuk menghadapi cabaran terutamanya pelbagai isu yang dimainkan oleh parti pembangkang, sehubungan dengan itu katanya semangat berkerja berpasukan perlu dibudayakan dengan mendekati ahli di peringkat akar umbi bagi menyelami masalah dan cuba mencari penyelasaian yang terbaik

No comments:

Post a Comment