Sunday, January 23, 2011

PERTAHANKAN KEHARMONIAN KAUM DI NEGERI INI






POTONG KEK…Lajim bersama Isteri Datin Seri Panglima Hajah Normilah Siong bersama jemputan lain memotong kek sebagai simbol pelancaran majlis tersebut

KUALA PENYU :Kerajaan memandang serius tindakan mana-mana pihak yang cuba menggunakan isu-isu sensitif bertujuan memecahbelahkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana mana pihak atau individu yang cuba menimbulkan sentiment perkauman sehingga boleh menjejaskan hubungan harmoni di kalangan rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama di Negara ini.

Menurut beliau (Lajim) kerajaan sentiasa berusaha memastikan setiap kaum mempunyai kebebasan dalam mengekalkan kebudayaan, pendidikan, cara hidup dan amalan beragama.

“ Rakyat perlu mengekalkan cara hidup bertoleransi dan saling menghormati walaupun berbeza kepercayaan serta budaya bagi memastikan keharmonian yang dikecapi selama ini tidak terjejas” katanya ketika berucap merasmikan majlis rumah terbuka Satu Malaysia sempena Sambutan Perayaan Krismas 2010 dan Tahun Baharu 2011 di Dewan St Peter Bundu dekat sini baru-baru ini.

Hadir Sama Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing, Persiden Pesatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) Pengerusi KDCA Kuala Penyu Sebastian Dirih Anjim,Pengerusi Penganjur Datuk Kimjus Duim dan Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah Datuk Wences Anggang.
Lajim berkata sikap toleransi amat dituntut terutama bagi masyarakat berbilang kaum kerana ia menjadi ramuan menyatupadukan rakyat.

Katanya, Lajim walaupun sebelum ini rakyat telah menunjukkan persefahaman dan kematangan yang membolehkan wujudnya keamanan serta kestabilan tetapi jika isu sensitif terus dibangkitkan, ia boleh memercikkan api perkauman dan mencetuskan rusuhan kaum.

“Kini ada pihak tertentu sengaja menggunakan isu-isu sensitif yang berkaitan agama dan budaya secara berterusan bagi membangkitkan perasan kebencian antara kaum supaya rakyat bertelagah dan akhirnya menyemarakkan semangat perkauman,” katanya
Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort,Keunikan hidup rakyat berbilang kaum yang mengamalkan kebebasan dan kepercayaan agama masing-masing menjadi begitu unik kerana ia tidak terdapat di negara lain.

“Ini adalah satu kejayaan luar biasa dan perlu dipertahankan kerana kalau kita membiarkan isu-isu sensitif dimainkan, akhirnya keharmonian dan keamanan yang kita kecapi hari ini mungkin tidak akan wujud lagi selepas ini” katanya

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak rakyat agar mempertahankannya supaya ia tidak diroboh oleh anasir tidak bertanggungjawab yang ingin melihat negara ini hancur.
Tambahnya, apa jua isu sensitif perlu diselesaikan secara muafakat dan bertoleransi supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan 105 ribu ringgit bagi mempertingkatkan kemudahan asa di kawasan itu antaranya bagi membiayai pembinaan kantin baru, pengubahsuaian rumah paderi dan peralatan sistem siaraya dewan tersebut.jbw

No comments:

Post a Comment