Friday, August 21, 2009

Kertas Cadangan Rumah PPR Dijual Terus Kepada Penyewa Ke Kabinet






Kelihatan Timbalan Menteri Perummahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin menyerahkan repelika kunci PPE Pangsapuri Mutiara Kasih Jalan Nipah Lahad Datuk Kepada Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Ghulam Haidar Khan sebagai simbol perasmian majlis tersebut

LAHAD DATU, : Kertas cadangan berhubung penjualan rumah Skim Perumahan Rakyat (PPR) terus kepada penyewa rumah akan dikemukakan kepada Kabinet untuk diluluskan sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Datuk Lajim Ukin.

Beliau berkata pada dasarnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju dengan cadangan itu bagi memberi peluang kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin memiliki rumah sendiri.

"Tidak semua layak. Rakyat Malaysia berpendapatan RM2,500 dan ke bawah sahaja layak memohon membeli rumah kos rendah yang dibina kerajaan. Kita akan memberi keutamaan kepada setinggan tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Pangsapuri Mutiara Kasih, sebuah projek PPR Kerajaan Persekutuan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah di sini pada Jumaat.

Lapan blok pangsapuri bernilai lebih RM45 juta itu mengandungi 700 unit rumah di atas kawasan seluas 6.88 hektar di Batu 4.5, Jalan Tengah Nipah itu, mula dibina pada 2006.

Lajim berkata penjualan kepada pemohon akan dilakukan dengan teliti termasuk keperluan mendapat pengesahan daripada wakil rakyat serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberikan hak berkenaan.

Beliau berkata kerajaan membuat pertimbangan itu setelah mengambil kira nasib ramai penyewa skim PPR yang menyewa antara 10 hingga 15 tahun tidak mempunyai jaminan masa depan untuk memiliki rumah sendiri.

Katanya jika dasar penjualan terus rumah dilaksanakan, kerajaan membayar subsidi sehingga 40 peratus bagi membolehkan pemohon membeli rumah berkenaan pada RM42,000.

Mengenai masalah mendapatkan pinjaman bank yang mungkin dihadapi pemohon tidak mempunyai slip gaji, Lajim berkata slip gaji anak kepada pemohon boleh dipertimbangkan.

Terdahulu semasa berucap, Lajim berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kerajaan merancang dan sedang membina sebanyak 709,400 unit rumah bagi tempoh antara tahun 2006 hingga 2010.

Katanya daripada jumlah berkenaan, 20,000 untuk golongan miskin, 165,400 unit rumah kos rendah dan 85,505 unit lagi untuk kos sederhana rendah yang dibina sama ada oleh kerajaan atau pihak swasta.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM9.5 bilion berbanding RM7 bilion dalam RMK-8.

No comments:

Post a Comment