Tuesday, August 4, 2009

SEBUAH BALAI BOMBA BARU AKAN DIBINA DI PUTATAN






PERIKSA PERBARISAN…Lajim diiringi oleh Pengarah JBPMS Khirudin Drahman turut memeriksa perbarisan dari Anggot JBPMS sejurus tiba ke majlis tersebut

KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kini dalam proses akhir meneliti cadangan bagi pelaksanaan pembinaan sebuah lagi balai bomba dan penyelamat di negeri ini, iaitu di daerah Putatan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, keperluan pewujudan balai bomba dan penyelamat itu seiring dengan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat dalam daerah Putatan ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Jentera Bomba yang baharu dan peralatan komunikasi dasar laut di perkarangan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, di Jalan Lintas Kelombong pada pagi isnin lepas.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Khiruddin Drahman serta pegawai pegawai kanan (JBPMS)

Menurut Lajim lagi Balai Bomba dan Penyelamat Putatan selain di Kuala Penyu dan Kinabatangan merupakan pembangunan yang diusahakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, sehingga kini kerajaan mewujudkan sebanyak 22-buah balai bomba dan penyelamat di Sabah termasuk 2 daripadanya yang sedang dibina.

Dalam sidang media kemudiannya, Lajim berkata, kementeriannya juga sedang bercadang mewujudkan balai-balai bomba dan penyelamat di beberapa daerah kecil yang jauh dari pekan dan bandar.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Beaufort ini juga turut mengingatkan para pengusaha dalam sektor perkilangan dan perhotelan untuk menyediakan pasukan bomba sendiri atau Emergency Response Team (ERT) seperti mana yang diwajibkan kepada para pengusaha industri berkenaan.

Di majlis tersebut Sebanyak 5-jentera bomba jenis Mercedes Atego dan peralatan Komunikasi Dasar Laut diagihkan kepada ketua-ketua balai masing-masing iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Lintas, Kudat, Beaufort, Tenom dan Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment