Tuesday, August 11, 2009

YSZPS JAYA PROGRAM, KHIDMAT MASYARAKAT 1 MALAYSIA DI KAMPUNG TEMPORONG KUALA PENYU






Zulkhairi Ismail menyerahkan struktur plak Sejarah Kg Tempurong kepada Pengerusi
GDW Kg. Tempurong, Awang Bongsu Haji Dollah.


KUALA PENYU: Seramai 50 orang warga Kumpulan Yayasan Sabah dari pelbagai Bahagian dan Jabatan telah menyertai Program Khidmat Masyarakat 1 Malaysia anjuran Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah, Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) bertempat di Kampung Tempurong, Kuala Penyu selama 3 hari 2 malam. Program kemasyarakatan yang diketuai oleh Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail itu turut melibatkan masyarakat dari Kampung Seliku, Kampung Kaukung dan Kampung Tempurong sendiri.

Menurut Zulkhairi Haji Ismail, Kampung Tempurong dipilih sebagai lokasi kedua selepas Kampung Long Pasia, Sipitang dalam siri Jelajah Kampung dalam Zon Pedalaman Selatan. "Program Khidmat Masyarakat 1 Malaysia ini disasarkan kepada masyarakat luarbandar di mana infrastruktur setempat berada ditahap paling asas serta memerlukan pendedahan kepada isu-isu terkini terutamanya yang menyentuh pendidikan, kekeluargaan, kesihatan, alam sekitar dan isu-isu semasa yang lain. Program seumpamanya diyakini dapat menerapkan konsep 1 Malaysia secara terus di samping menyumbang kepada pembangunan minda serta memupuk kerjasama baik inter-agensi di Sabah. Ini terbukti dengan penyertaan langsung daripada Jabatan Kesihatan, Pejabat Pelajaran Daerah, Sekolah, Perpustakaan, Jheains, RELA dan NGO dalam beberapa slot sepanjang program itu dilaksana. Di samping itu disebabkan Kampung Tempurong berpotensi menjadi lokasi homestay, melalui aktiviti keluarga angkat dijangka dapat merangsang keupayaan sekelompok keluarga untuk menjadikan homestay sebagai punca pendapatan baharu", tambah Zulkhairi.

Antara Bahagian dan Jabatan dari Kumpulan Yayasan Sabah sendiri yang terlibat termasuklah Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat, Kolej Yayasan Sabah, Bahagian Konservasi dan Alam Sekitar, Pejabat YS Zon Pantai Barat Selatan, Bahagian Perkapalan, Persatuan Pekerja Wanita YS, Pancaragam Cakerawala dan warga YSZPS sendiri sebagai tonggak program.

Sepanjang tempoh tersebut beberapa aktiviti dilaksanakan antaranya Seminar Keibubapaan, Klinik UPSR, Taklimat Kesihatan, Bengkel Homestay, ceramah agama, sukan Rakyat, sukaneka, acara kanak-kanak, gotong-royong, persembahan senibudaya, pertandingan karaoke, senamrobik, tayangan wayang gambar, temuduga terbuka Kolej Yayasan Sabah, bengkel pencinta alam, keluarga angkat, kenduri sekampung, penyerahahan sumbangan beg sekolah, anugerah murid cemerlang dan ziarah warga tua.

Sementara itu semasa berucap merasmikan acara gotong royong, Wakil Rakyat Kuala Penyu, John Teo memuji usaha Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha memasyarakatkan konsep 1 Malaysia secara amat efisyen yang dipenuhi dengan pelbagai pengisian aktiviti yang bersifat nilai tambah khusus untuk rakyat Malaysia di Sabah. "Program perkampungan seumpama ini perlu diperhebatkan bukan sahaja bertumpu di sesebuah daerah malah ke seluruh pelusuk negeri Sabah kerana di luar sana terdapat ratusan ribu masyarakat pedalaman yang masih terkebelakang dalam arus pembangunan dan perkembangan maklumat semasa", gesa John Teo.

Manakala Pengerusi Gerakan Daya Wawasan Kampung Tempurong, Awang Bongsu Haji Dollah turut merakamkan rasa bangga dan terimakasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana memilih kampung mereka sebagai lokasi program. "Program perkampungan ini merupakan julung kali dan pertama kali diadakan seumpamanya oleh sebuah agensi utama kerajaan dengan pasukan yang ramai dengan melaksana pelbagai aktiviti yang amat baik dan berguna untuk membangunkan masyarakat kampung kami dan kejiranan berdekatan. Ini menandakan bahawa kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah meminggirkan kami daripada arus kemajuan. Pembinaan jalan masuk ke kampung-kampung sekitar sini membuktikan janji Barisan Nasional terlaksana jua", ujar Awang Bongsu.

Sempena program itu juga, Ahli Parlimen Beaufort, DSP Haji Lajim Ukin turut menyumbang sejumlah peruntukan untuk membaiki astaka sedia ada semata-mata untuk memastikan perlaksanaan program berjalan dengan sempurna. Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyatakan sokongan penuh ke atas setiap program yang membawa manfaat langsung kepadsa rakyat.

Dua orang warga tua telah menerima ziarah daripada Persatuan Pekerja Wanita Kumpulan Yayasan Sabah yang diketuai oleh Pengerusinya Hajjah Rosmawati Haji Lasuki yang turut menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan dapur dan selimut kepada Sairah Amat, 92 tahun di Kampung Tempurong dan Umbi Edim 78 tahun di Kampung Kaukang. Rosmawati dipetik sebagai berkata bahawa program jelajah kampung dan daerah ini merupakan 'benchmark' kepada komitmen Kumpulan Yayasan Sabah dalam usaha menokoktambah usaha kerajaan negeri untuk membangunkan rakyat Malaysia di Sabah khususnya mereka yang berada di luarbandar tanpa mengira peringkat umur, kaum dan agama. "Adalah menjadi obligasi sosial berterusan oleh Kumpulan Yayasan Sabah melalui pelbagai program bercorak pembangunan sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopendidikan yang dilaksana di pelbagai peringkat dan secara tidak langsung ia mendedahkan semua warga YS akan peripentingnya keseimbangan modal insan dari segi keperibadian dan perlaksanaan tanggungjawab serta penyampaian perkhidmatan" tegas beliau.

Antara penceramah yang terlibat dalam program itu ialah Kaunselor Osman Sidek dari Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Penyu; Pakar Motivasi Tempatan, Jailani Haji Idris; Koordinator Program Homestay ZPBS, Linda Anthony; Pengurus Kelab Pencinta Alam Sabah, Jimmy Omar; Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Penyu, Bahrin Matzin; Pegawai Pemasaran Kolej YS, Rasly Suhaibul; Pegawai Tadbir Kanan YSZPS, Haji Gulam Hassan Hapil dan Pegawai Operasi YS Kuala Penyu, Ganilin Haji Hasim.

Sepanjang program itu, seramai 90 orang murid Sk Tempurong termasuk prasekolah dan tadika menerima sumbangan beg sekolah dan seorang murid cemerlang menerima hadiah berupa sebuah basikal dan sijil penghargaan daripada Ketua Pentadbir YSZPS. Di samping itu acara pertandingan mewarna menarik penyertaan 50 murid tahap satu dan tadika.

Dalam program gotong-royong, pihak YSZPS menyumbang pembinaan sebuah plak tanda dwibahasa asal-usul Kampung Tempurong dan sebuah mesin pemotong rumput kepada JK GDW.

Manakala Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Penyu turut menyampaikan taklimat penjagaan kesihatan khususnya berkenaan dengan wabak Influenza A H1N1 dan cara-cara pengawalannya.

1 comment:

  1. TAHNIAH KEPADA YAYASAN SABAH ZON PENDALAMAN SELATAN YANG TURUT MEMBERIKAN SUMBANGAN YANG AMAT BERMAKNA DALAM MENJANA KEMAJUAN PENDIDIKAN KHUSUSNYA DI KAWASAN PARLIMEN. P.177 BEAUFORT SEMOGA USAHA INI AKAN BETERUSAN

    ReplyDelete