Monday, June 21, 2010

Jabatan Bomba Mahu Bomba Sukarela Diserap Ke Dalam Jabatan







Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin diiringiPengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Khirudin Drahman menekan punat (Siren)sebagai simbol perasmian majlis tersebut

KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat mahu Pasukan Bomba Sukarela diserap ke dalam jabatan itu bagi memudahkan jabatan membantu dan mengawasi kegiatan mereka.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin berkata pasukan itu wajar menjadi sebahagian daripada jabatan itu bagi menguatkan pasukan bomba melaksanakan tugas memadam kebakaran dan menyelamat.

"Kita telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat supaya membuat satu kertas kerja bagi kementerian untuk menimbang dan mengkaji tentang pengwujudan pasukan bomba sukarela dalam jabatan. Sekarang ini pasukan bomba sukarela di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

"Kalau kementerian setuju, pasukan bomba sukarela akan mendapat lagi banyak bantuan dan mungkin boleh dipertimbangkan elaun bagi ahli yang membantu bomba dalam sesuatu kejadian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan peralatan bomba dan sijil Skim Teman Pili Bomba di sini pada Jumaat.

Lajim berkata pasukan itu menerima bantuan berjumlah RM13.9 juta tahun lepas untuk latihan, pemberian peralatan, kasut dan baju kalis api.

Dalam perkembangan lain, Lajim berkata kementerian bercadang agar sebuah helikopter dapat diberikan kepada Sabah dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Katanya langkah itu bagi memudahkan pengawasan kejadian kebakaran seperti di hutan melalui udara dan melancarkan pergerakan bomba ke kawasan yang tidak mempunyai perhubungan jalan raya yang baik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Khirudin Drahman berkata jabatan itu akan mengadakan latihan bagi kumpulan pertama pasukan payung terjun di Sabah bulan depan.

Seramai 40 peserta akan dilatih menggunakan payung terjun pada waktu kecemasan, termasuk latihan sebagai pembantu paramedik

No comments:

Post a Comment