Monday, June 21, 2010

SEMAK STATUS PENYEWA RUMAH SEBELUM MENYEWAKANNYA


MESRA..Lajim bersalaman dengan jawatankuasa pergerakan pemuda sejurus tiba untuk merasmikan persidangan tersebut.


BEAUFORT : Pemilik rumah perlu menyemak status penyewa mereka bagi memastikan tiada penyewa dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negara ini

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, soal cadangan memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenai status penyewa sepatutnya tidak timbul.

Sebaliknya menurut beliau, pemilik rumah perlu mempraktikkan perjanjian sewa rumah secara bertulis agar tidak timbul sebarang masalah.

Beliau berkata demikian kepada Pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno bahagian Beaufort di dewan masyarakat Beaufort pagi kemarin.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort diminta mengulas kenyataan media Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berhubung cadangan agar pemilik rumah yang menyewakan rumah kepada warga asing perlu memaklumkan kepada PBT bagi memastikan mereka bukan PATI.

Menurut kenyataan tersebut, Murugiah akan mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan beserta syor supaya pemilik rumah didakwa sekiranya didapati menyewa kepada warga asing.

Lajim menambah setakat ini tiada garis panduan khusus berkaitan penyewaan rumah kepada individu lain sebaliknya beliau turut mengingatkan agar pemilik rumah memberikan kerjasama supaya tidak menyewakan rumah keda individu tidak dikenali.

Terdahulu ketika berucap merasmikan serentak persidangan tersebut Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort meminta pergerakan Pemuda dan Puteri turut memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap penganjuran program bagi mendekati golongan muda.

Katanya, golongan tersebut bukan sahaja perlu didekati dengan pelbagai program yang boleh mendorong minat mereka menyokong dan menghargai perjuangan parti namun dalam masa yang sama mereka perlu diberikan peranan sebagai agen penyumbang kepada dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menurut beliau perlaksanaan program tidak seharusnya tertumpu kepada satu program sahaja namun perlu dipelbagaikan terutamanya dalam menyalurkan pelbagai maklumat mengenai peluang peluang yang disediakan oleh kerajaaan yang boleh mereka manafaatkan khususnya dalam menyediakan peluang kemahiran dan latihan untuk mereka terlibat dalam sektor ekonomi.

“ Kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu dipertingkatkan dengan membawa jabatan dan agensi yang terlibat turun padang khusus untuk membantu golongan belia mendapat maklumat tentang peluang peluang yang boleh mereka ceburi” katanya. Oleh: Jaafar Abdul Wahid

No comments:

Post a Comment