Wednesday, June 30, 2010

Kekalkan integriti didik anak bangsa




TOKOH GURU…Lajim yang diiringi oleh Salleh ketika menyampaikan anugreh Tokoh Guru daerah Beaufort 2010 kepada Haji Hasnan di majlis tersebut

BEAUFORT: Golongan pendidikan di negeri ini digesa agar menyemai dan mempraktikkan nilai-nilai integriti dalam setiap jiwa pelajar bagi melahirkan pewaris negara yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata,nilai-nilai seperti amanah, jujur dan bertanggungjawab bukan satu perkara asing dalam kehidupan pelajar namun jika ia dipandang sambil lewa maka matlamat untuk melahirkan negara bangsa Malaysia yang dinamik tidak akan kesampaian.

“Golongan pendidik perlu menekankan agar nilai-nilai murni tersebut dihayati sepenuhnya demi memenuhi amanah dan tanggungjawab yang dijanjikan sebagai pendidik,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Guru Peringkat Daerah Beaufort di Dewan Masyarakat Beaufort di sini pagi kemarin.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Salleh Haji Edrris, dan Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Insfrastruktur Isnin Haji Aliasnih

Menurut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort dalam membentuk nilai integriti dan amanah, para pelajar seharusnya diberi penekanan agar mereka perlu bersikap sedemikian ketika menyelesaikan tugasan atau latihan yang diberikan oleh guru disamping mampu mendisplinkan golongan pelajar.

“ Saya yakin pembentukan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan terhasil menerusi sistem pendidikan jika nilai berkenaan dipraktikkan terhadap pelajar setiap hari’ tambah Lajim

Lajim menambah dalam kepesatan pembangunan dan perkembangan pendidikan di negara menuntut warga pendidik agar bergerak lebih pantas selari dengan aspirasi Negara sehubungan dengan itu beliau mengajak warga pendidik menggembleng tenaga dan usaha untuk terus mengamalkan budaya kerja cemerlang, bertanggungjawab dan menerapkan semangat mujahadah bagi melakukan yang terbaik demi anak bangsa

“"Kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti. dimana usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme guru, agenda tersebut bukan sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, malah turut bergantung pada tahap kualiti, kompetensi, jati diri dan semangat para guru” tambah Lajim

Sementara itu Haji Hasnan Bin Mohd. Zin telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru daerah Beaufort tahun 2010 dimana selain menerima sijil, cenderamata beliau juga menerima wang tunai sumbangan peribadi dari pada Lajim yang turut menyempurnakan majlis penganugerahan tersebut.

Turut diberikan anugreh pada majlis tersebut ialah anak-anak guru yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR,PMR,SPM dan STPM tahun lepas dan juga anugreh Jasa Mu di Kenang bagi guru guru yang telah bersara pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment