Thursday, September 17, 2009

Jambatan baru akan selesai masalah kesesakan lalulintas di Beaufort: Lajim





Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas sempana majlis tersebut

BEAUFORT: Kesesakan lalu lintas di jambatan Beaufort dijangka akan dapat diselesaikan dengan pembinaan sebuah jambatan baru iaitu jambatan kedua yang menghubungkan Pusat Bandar Beaufort dengan Beaufort Selatan berharga RM28 juta, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Lajim Hj Ukin.

“Kontraktor telah pun dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan jambatan baru itu yang akan dimulakan pada bila-bila masa saja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan mengagihkan sumbangan makanan dan duit raya kepada warga emas dan Ibu-ibu tunggal Dun Klias di Masjid Kabatu, pada Selasa.

Beliau berkata jambatan kedua itu akan dibina di tapak lama hospital merintangi seberang sungai Padas yang ke Taman Melati dan seterusnya sebatang jalan raya akan dibina menuju ke Taman Fo Sang dan akan menggunakan laluan yang menuju ke jalan lama Beaufort-Weston.

“Pembinaan jambatan kedua itu perlu dilaksanakan segera kerana kita melihat keadaan lalu lintas di jambatan itu yang semakin sesak sehingga melambatkan pergerakan kenderaan di sekitar pekan dan di sepanjang jalan menuju ke Hospital terutama sekali ketika pagi dan petang hari Jumaat dan lebih-lebih lagi hari Sabtu iaitu masa Tamu Mingguan Pekan Beaufort.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort itu berkata kesesakan di jambatan Beaufort masa kini bukan hanya berpunca daripada pertambahan bilangan pemilik kenderaan tetapi jambatan itu kini amat penting yang menjadi perantaraan yang menghubungkan Ibu Negeri Sabah ke Sarawak dan Brunei serta ke lebuh raya baru Tenom – Keningau melalui Sipitang.

“Memang kita sudah banyak mendengar rungutan khususnya dari kalangan pengguna jalan atau pemilik kenderaan dari itu pembinaan jambatan kedua ini memang perlu disegerakan,” jelasnya.

Pada masa yang sama beliau memberitahu Kerajaan BN berusaha untuk terus membina dan menyediakan kemudahan untuk rakyat oleh itu rakyat tidak perlulah rasa sangsi akan kewibawaan Kerajaan sejajar dengan arahan Perdana Menteri Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

No comments:

Post a Comment