Wednesday, September 9, 2009

Masjid platform tingkatkan daya saing umat Islam; TYDP USIA





Timbalan Yang Dipertua (USIA)Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin Ketika menyampaikan sumbangan untuk masjid dan surau kepada salah seorang penerima di majlis tersebut

BEAUFORT : Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Lajim Ukin menyarankan agar Institusi masjid dan surau di negeri ini dijadikan platform kepada umat Islam untuk memperkukuhkan perpaduan disamping meningkatkan daya saing bagi menggalas cabaran dan globalisasi.

Sehubungan itu katanya,usaha memartabatkan institusi masjid dan surau perlu dilakukan terlebih dahulu supaya ia memenuhi keperluan semasa serta perubahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bagi memastikannya dicapai, jawatankuasa masjid dan surau perlu memperbaiki dan meningkatkan aspek pengurusan, pentadbiran dan program mengimarahkan masjid sentiasa dilaksanakan tanpa mengira musim

“ Program program mengimarahkan masjid sepatutnya tidak hanya dibuat pada musim musim tertentu seperti dalam Ramadan, sebaiknya program mengimarahkan masjid ini sentiasa dilaksanakan setiap masa melalui pelbagai program dan pendekatan bagi menarik Umat Islam sentiasa berkujung ke masjid” katanya ketika berucap di Majlis Ziarah Ramadan Umno bahagian Beaufort di Masjid Kampung Kebulu dekat sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih,Naib Ketua Bahagian Datuk Kimjus Duim,Vendahari bahagian Mohd.Zahari Zinin ,Setiausaha Bahagian Jusih Haji Sarin dan Ketua Daerah Mengundi Kebulu Harris Abd.Hamid

Lajim berkata institusi masjid juga boleh dijadikan saluran berkongsi maklumat, idea dan pengalaman bagi menarik golongan belia dalam memakmurkan masjid memandangkan institusi tersebut selama ini hanya dihadiri oleh golongan dewasa serta orang tua sahaja.

" Perlu ada kesungguhan serta komitmen dari jawatankuasa masjid disamping sokongan masyarakat Islam setempat untuk menyemarakkan fungsi institusi masjid sebagai pusat ilmu selain menyuburkan semangat ukhuwah demi membentuk jaringan kerjasama yang kukuh, efektif dan efisien dalam pengurusan serta pentadbiran masjid” tambah Lajim

Di majlis itu selain berbuka puasa bersama rakyat Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort turut mengagih-agihkan sumbangan berupa wang zakat kepada golongan yang kurang berkemampuan juga sumbangan kewangan untuk keperluan Masjid dan Surau di kawasan berkenaan

No comments:

Post a Comment