Monday, September 28, 2009
Kerajaan giat selesai projek perumahan RMK-9 bermasalah
BEAUFORT 27 Sept. - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mempergiatkan usaha menyelesaikan semua projek perumahan bermasalah yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Timbalan Menterinya, Datuk Lajim Ukin berkata, pihaknya sedang mengenal pasti projek bermasalah di seluruh negara.
''Rancangan kita tertumpu kepada penyelesaian projek yang dikenal pasti bermasalah di seluruh negara bagi memastikan setiap projek perumahan berjalan dengan lancar.
"Kementerian juga telah mengarahkan para pegawai untuk turun padang meninjau projek yang bermasalah dan mengatasinya dengan segera," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka beliau di Kampung Kabatu dekat sini semalam.
Menurut Lajim, kerajaan akan sentiasa memantau projek yang dijalankan termasuk projek bermasalah bagi memastikan ia dapat disiapkan.
"Setiap bulan kita juga mengadakan mesyuarat dengan kontraktor yang mengendali projek untuk berbincang sebab-sebab berlakunya kelewatan.
"Jika ia disebabkan kekurangan bahan-bahan binaan atau pun masalah modal kita akan mengkaji masalah ini untuk membantu mereka," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kementerian juga akan menetapkan jangka masa baru sesuatu projek perumahan bermasalah untuk disiapkan bagi memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar.
"Di Sabah sahaja projek yang bermasalah adalah di daerah Keningau, Kunak, Penampang, Kinarut, Tawau dan Kudat.
"Jadi kementerian saya akan memastikan setiap projek bermasalah diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment