Friday, September 4, 2009

Pondok Polis Disaran Disediakan Di Perumahan Kos Rendah




SERAH SUMBANGAN…Kelihatan Lajim menyerahkan sumbangan kueh raya kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Razak semasa majlis tersebut

KOTA KINABALU: Jabatan Perumahan Negara (JPN) di setiap projek perumahan kos rendahnya yang baru dicadang mewajibkan seunit rumah jenis itu dijadikan sebagai pondok polis dan tempat tinggal anggotanya yang bertugas di kawasan perumahan tersebut.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Lajim Ukin berkata langkah itu penting bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan di kawasan perumahan terbabit sentiasa terjaga.

Sehubungan itu, katanya JPN akan mengadakan perbincangan dengan polis bagi cadangan itu termasuk mengambil kira keperluan polis dan kesesuaian mewujudkan pondok polis di kawasan perumahan kos rendah yang kini dijual pada harga sekitar RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah seunit.

Beliau berkata penyediaan pondok polis ini dicadang dilaksanakan mulai tahun depan atau dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Banyak aduan yang diterima tentang jenayah kecil dan kesalahan letak kereta yang kadangkala mengakibatkan pergaduhan di kawasan perumahan dan kita di kementerian melalui JPN mengambil berat tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Razak Abdul Ghani di ibu pejabat polis kontingen Sabah di Kepayan, dekat sini , Jumaat.

Terdahulu dari itu Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut mengagihkan sumbangan kuih raya kepada anggota Tentera Kem 5 Briged Lokawi dimana sumbangan diterima oleh Ketua Sraf Narkes 5 Briged Lokawi Lt.Konel Abdul Halim Haji Ismail.

Lajim berkata sumbangan itu adalah tanda penghargaan kepada anggota polis yang banyak berjasa kepada negara terutama yang terpaksa bertugas semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment