Wednesday, September 22, 2010

Cawangan PBBS diminta tubuh tabung



DUIT RAYA..Lajim dan Kamarlin mengagih-agihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis itu.



BEAUFORT 15 Sept. - Semua cawangan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) di negeri
ini diminta menubuhkan tabung untuk mengumpul dana membiayai pembinaan bangunan persatuan itu.

Presiden PBBS, Datuk Lajim Ukin berkata, langkah itu perlu bagi mempercepatkan rancangan pembinaan sebuah bangunan baru yang akan dijadikan Wisma Bisaya.

"Dengan adanya tabung ini, ahli-ahli di setiap cawangan boleh membuat sumbangan setiap bulan yang membolehkan mereka sama-sama memainkan peranan membantu membina Wisma Bisaya.

"Pada masa sama, PBBS juga akan mencari pendekatan lain bagi mengumpul dana membina bangunan itu," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PBBS di Dewan Serbaguna Kampung Lupak di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Kamarlin Ombi.

Menurutnya, pembinaan sebuah wisma amat penting dalam usaha menyemarakkan lagi pelbagai aktiviti persatuan tersebut pada masa akan datang.

Katanya, wisma berkenaan juga dapat menjadi platform penting dalam meningkatkan penglibatan ahli persatuan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Lajim memberitahu, meskipun etnik Bisaya merupakan kaum minoriti di negeri ini tetapi ia turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.

"Kerajaan menyedari peranan suku kaum Bisaya di negeri ini termasuk melantik wakil rakyat daripada suku kaum itu dalam Kabinet negeri dan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, semangat kerjasama dan perpaduan perlu terus dikekalkan di kalangan suku kaum Bisaya di negeri ini.

"Kerjasama dan perpaduan itu harus kita kekalkan kerana menjadi elemen penting kepada negeri ini yang menjadi contoh konsep 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau berharap budaya kunjung-mengunjung terus diamalkan rakyat negeri ini pada setiap masa, tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata.

"Malah kita perlu menerapkan kepada anak-anak kita, budaya yang kita warisi ini agar hubungan harmoni dan semangat kekeluargaan dapat dieratkan," katanya.

No comments:

Post a Comment