Monday, September 27, 2010

JBA digesa segera ganti paip usang di Kuala Penyu



Datin Seri Panglima Hajah NormiLah Siong isteri Lajim (tengah) mendukung Norasilah Justin yang lumpuh selepas menghidap demam panas semasa kecil pada majlis rumah terbuka UMNO Bahagian Beaufort di perkarangan masjid Kampung Berangkok, kelmarin.


KUALA PENYU 23 Sept. - Jabatan Bekalan Air digesa mengganti paip- paip usang yang dikatakan menjadi punca masalah air terus berlaku di daerah ini dan kawasan sekitarnya.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, paip-paip yang usang menyebabkan kejadian kebocoran air sering berlaku sehingga menyebabkan penduduk tidak mendapat bekalan sepatutnya khususnya ketika musim perayaan.

''Kerajaan telah melaksanakan projek naik taraf loji penapis air Kuala Penyu berjumlah RM30 juta yang telah siap sepenuhnya pada tahun ini, tetapi masih terdapat lagi gangguan bekalan air.

''Saya difahamkan ia berpunca daripada paip usang yang bocor. Sepatutnya, paip usang itu digantikan baru menerusi peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis rumah terbuka UMNO Bahagian Beaufort di perkarangan masjid Kampung Berangkok, di sini semalam.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Normillah Siong, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Isnin Aliasnih; Naibnya, Datuk Kimjus Duim dan pengerusi penganjur, Awang Anak Yusuf.

Pada majlis itu, Lajim turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada kanak-kanak kurang upaya, Norasilah Justin, lima tahun.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata, usaha kerajaan menaik taraf loji penapis air di Kuala Penyu tidak akan bermakna jika masalah paip usang tidak diatasi segera.

''Apa makna loji penapis itu jika air tidak sampai kepada penduduk sebaliknya terputus di tengah jalan?'' ujarnya.

Sehubungan itu, Lajim berharap langkah segera untuk mengganti paip- paip yang lama dan usang itu akan dilakukan secepat mungkin oleh pihak berkuasa terlibat.

''Tidak ada sebab kenapa ia sukar dilakukan, jika kerajaan boleh memperuntukan peruntukan yang besar untuk membina loji penapis air, maka pihak yang bertanggungjawab perlu lebih cekap mengatasi masalah ini," ujarnya.

Beliau berkata, satu kertas cadangan perlu segera dikemukakan kepada kerajaan bagi melaksanakan projek mengganti batang paip-paip yang lama.

''Kita tidak mahu pemimpin dipersalahkan dalam soal ini dan kita tidak mahu rakyat memberikan gambaran yang salah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak peka dan prihatin dengan masalah rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment